JULY 3 — Saya bagi pihak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berbesar hati mengundang serta mempersilakan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei; Ahli Majlis DUN Sri Muda, Ruthira Surasan; serta Ketua Bahagian MIC Kota Raja, Sunderaj ke Rumah Kavyan.

Rumah Kavyan hanyalah sebuah rumah teres biasa yang diubah suai secara amat minimum untuk dijadikan pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan dengan penglibatan masyarakat pelbagai kaum.

Bahagian hadapan (tempat letak kereta) dijadikan tempat kelas tambahan bagi pelajar sekolah menengah dan murid sekolah rendah. Kelas diusahakan secara kecil-kecilan oleh remaja/belia secara sukarela demi membantu pelajar/murid yang tidak mampu pergi ke pusat tuisyen.

Dalam usaha menggalakkan kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum mencintai Bahasa Malaysia serta ada minat membaca, perpustakaan mini di Rumah Kavyan dibuka kepada umum. Ia menyediakan sedikit bahan bacaan bermutu sebagai santapan minda. Pengunjung disajikan dengan makan-minum ala kadar menggunakan hasil sumbangan rakan-rakan (bukan politikus) yang prihatin.

Advertisement

Sudut Sasterawan Negara sedang diusahakan di Rumah Kavyan. Selain daripada poster biodata 12 Sasterawan Negara, satu rak khusus (bersaiz sekitar 120 sm x 175 sm) menempatkan buku-buku para Sasterawan Negara menjadi impian kami. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2 Julai 2014 sudah bersetuju untuk menaja buku-buku berkenaan.

Sejak belakangan ini, Rumah Kavyan di Taman Sri Muda, Shah Alam turut menjadi tumpuan beberapa keluarga dan individu yang menghadapi masalah kewangan dan masalah perumahan. Sudilah berkunjung ke www.facebook.com/uthaya untuk melihat foto-foto berkaitan.

Berkat sokongan dan sumbangan sejumlah kenalan (bukan politikus) yang prihatin serta yakin pada integriti Kavyan, kami berjaya membantu beberapa keluarga. Kavyan juga menjadi “pendesak” sehingga memungkinkan bantuan diperoleh daripada beberapa politikus.

Advertisement

Sebahagian masalah 'kecil' dihadapi penduduk

Kenyataan ini bukanlah bertujuan mendabik dada. Sebaliknya mendedahkan hakikat di mana orang ramai (masyarakat/pengundi) seolah-olah sudah “terputus hubungan” dengan Ahli Parlimen, Adun, Ahli Majlis dan wakil parti-parti politik (Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat) pada peringkat bahagian dan cawangan.

Memandangkan masih wujud ramai murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah daripada keluarga miskin dan keluarga kurang berkemampuan, Kavyan dengan sokongan, sumbangan dan kerjasama pelbagai pihak (bukan politikus) melaksanakan projek sumbangan makan tengah hari kepada sejumlah murid dan pelajar di sekitar Taman Sri Muda mulai 7 Julai 2014.

Projek bantuan makanan ini dimulakan walaupun belum ada sumbangan yang mencukupi untuk melaksanakannya secara berterusan. Sedikit barangan keperluan sudah dibeli hasil sumbangan rakan-rakan yang prihatin. Suri rumah sebuah keluarga miskin menawarkan diri menjadi tukang masak. Guru-guru prihatin dari sekolah berhampiran menyalurkan maklumat murid/pelajar miskin yang memerlukan bantuan makan tengah hari.

Semua ini dilakukan oleh Kavyan bersama-sama penduduk (masyarakat) tanpa bantuan atau sokongan (moral atau kewangan) daripada kuasawan dan ahli politik setempat. Makalah yang disiarkan di beberapa portal berita dalam talian pada 30 Jun 2014 untuk merayu bantuan RM5 daripada para politikus tidak menampakkan sebarang hasil.

Seolah-olah para politikus hidup di kayangan dan sudah terputus hubungan dengan manusia di Bumi.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Taman Sri Muda terletak dalam DUN Sri Muda dan Parlimen Kota Raja. Akan tetapi, saya tidak tahu bilakah kali terakhir Ahli Parlimen, Adun, Ahli Majlis dan ketua bahagian MIC datang bertemu penduduk di sini sejak Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beberapa penduduk di kawasan perumahan ini turut menghadapi masalah ketiadaan sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri. Keadaan ini menyebabkan anak-anak menghadapi masalah meneruskan pelajaran, manakala individu dewasa menghadapi masalah mencari pekerjaan dan menguruskan perkahwinan.

Terimalah undangan daripada kami

Berikutan beberapa kes yang dibawa kepada perhatian Kavyan, kami telah menghubungi Persatuan Jaringan Pembangunan manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA) untuk membuka kaunter MyDaftar di Rumah Kavyan pada 13 Julai 2014.

Pihak tuan-tuan dan puan-puan mungkin tidak tahu-menahu mengenai hal ini, serta mungkin tidak berminat untuk mengambil tahu.

Kavyan sedang berusaha menambah kemudahan di Rumah Kavyan untuk memenuhi keperluan semasa. Apatah lagi jika ada lagi kes gelandangan yang memerlukan tempat tinggal sementara; tetapi politikus (Ahli Parlimen, Adun dan Ahli Majlis) pula tidak tercapai oleh orang biasa.

Izinkan kami membantu tuan-tuan dan puan-puan melaksanakan tugas seperti diamanahkan oleh penduduk/pengundi pada PRU-13. Izinkan kami memberikan tuan-tuan dan puan-puan peluang untuk bertemu penduduk (Rakyat) secara langsung tanpa apa-apa gimik muluk yang selalunya diatur oleh juak-juak politik pada setiap kali Ahli Parlimen, Adun dan Ahli Majlis “mencemar duli” turun bertemu “rakyat-jelata”.

Kavyan dengan penuh hormat dan takzim mengundang serta mempersilakan tuan-tuan dan puan-puan berkunjung ke Rumah Kavyan tanpa sebarang karenah birokrasi dan iringan juak-juak serta kaki ampu.

Datanglah untuk minum kopi dan makan biskut sambil duduk berbual-bual bersama-sama penduduk yang mungkin tidak mengenali wajah Ahli Parlimen dan Adun yang pernah mereka undi semasa pilihan raya dahulu.

Tuan-tuan dan puan-puan boleh menghubungi kami secara langsung menerusi e-mel [email protected] tanpa perlu menggunakan pembantu khas atau setiausaha sebagai orang tengah. Harap maklum bahawa pengundi (Rakyat) mengundi serta membayar gaji tuan-tuan dan puan-puan; bukan mengundi pembantu khas dan setiausaha.

Jemputlah datang ke Rumah Kavyan yang serba kekurangan. Tuan-tuan dan puan-puan mungkin akan berpeluang untuk kembali berpijak di Bumi dan memahami peranan sebenar yang diamanahkan oleh penduduk dan pengundi.

* Uthaya Sankar merupakan presiden, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

** Ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.