28 OKTOBER — Tak buat salah, buat pun salah.

Begitulah yang terjadi kepada pihak polis setiap kali mereka menangkap atau menangani kes-kes yang berprofil tinggi. Polis menjadi punching bag sekiranya tindakan mereka itu dilihat terlalu keras dan melanggar hak asasi manusia.


Lebih mendukacitakan, pihak polis juga dituduh kerana bertindak tidak profesional. Dalam konteks untuk mencegah keganasan di negara ini, baru-baru ini sekumpulan individu telah ditahan oleh polis berhubung pembabitan mereka dengan sebuah kumpulan pengganas. Itu pun, tindakan tersebut dipertikaikan oleh sesetengah pihak.


Semuanya dipertikaikan kerana bertopengkan hak asasi manusia, demokrasi dan bermacam-macam lagi. Malangnya, tidak ramai pula melihat isu sebegini daripada perspektif yang lebih menyeluruh daripada konteks nasional misalnya. 


Advertisement

Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya polis memilih untuk tidak mengambil tindakan. Apakah impaknya kepada keselamatan negara sekiranya tindakan lambat diambil? Beranikah mereka yang mempertikaikan tindakan polis itu untuk bertanggungjawab dan membantu polis memelihara keselamatan negara.


Polis pastinya mempunyai alasan mengapa tindakan menahan sekumpulan individu itu dibuat. Amat tidak logik sekiranya ada pihak cuba mempertikaikan tindakan berkenaan dan melihatnya sebagai satu tindakan untuk memburuk-burukkan pihak lain.


Ini berkisar kepada soal keselamatan negara dan bukannya perkara yang remeh-temeh. Keputusan yang diambil polis itu mungkin bukan sesuatu yang popular dan disenangi ramai. Namun begitu, dalam situasi genting dan lebih-lebih lagi melibatkan keselamatan negara, keutamaan haruslah diberikan kepada isu yang lebih mendesak.


Advertisement

Oleh yang demikian, kepada pihak tertentu yang tidak berpuas hati, fikir sejenak dan tanya kepada diri sendiri adakah pihak polis akan bertindak tanpa sebarang maklumat konkrit? Dalam hal ini, pastinya polis berani bertindak setelah benar-benar pasti dan memiliki maklumat yang mencukupi.


Daripada memaki-hamun dan mengkritik pihak polis, bukankah lebih baik jika kita menadah tangan dan bersyukur bahawa keselamatan di negara masih terkawal semuanya atas peranan yang dimainkan oleh polis? Jika tidak kerana ketangkasan tindakan yang diambil polis, barangkali Malaysia telah terjerumus ke kancah anarki.


Kita sebagai rakyat juga perlulah memahami tugas yang terpaksa dipikul oleh mereka dan manfaatkan kesempatan yang terluang untuk membantu pihak polis. Sesungguhnya, rakyat dan polis berpisah tiada kerana dengan gandingan mantap antara mereka, usaha memelihara keselamatan menjadi lebih mudah.


Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.