Jangan hanya pandai mengutuk aje!

14 OKTOBER — Dalam kehidupan seharian, kita tidak semestinya menang semua dan tidak semestinya kalah semua.

Begitu juga dalam permintaan terhadap sesuatu tuntutan yang pada pengamatan kita mungkin sesuatu yang berasas dan wajar diberikan perhatian sepatutnya.

Situasi saban tahun selepas berakhirnya pembentangan Belanjawan Negara tidak banyak bezanya. Sudah pasti ada pihak yang gembira dan lega dengan pengumuman tersebut dan tak kurang juga mereka yang tidak berpuas hati.

Akibat perasaan tidak puas hati itu, maka timbullah bermacam-macam tohmahan terhadap Kerajaan kononnya kepimpinan negara tidak peka terhadap masalah rakyat. Para penganalisis ekonomi dengan pandangannya, pemimpin-pemimpin NGO dengan alasannya serta tidak ketinggalan juga, parti-parti politik pembangkang dengan gelagatnya.

Dalam kalangan parti politik pembangkang, hanya kedengaran kutukan, sindiran, dan tuduhan yang mempersoalkan intipati Belanjawan yang dibentangkan. Bermacam-macam sebab diberikan seolah-olah menunjukkan mereka ini lebih pandai menguruskan kewangan negara walhal sebaliknya yang berlaku sebelum ini.

Persoalannya, apakah pihak Kerajaan tidak sedar akan keluh-kesah ini?

Sudah pasti, mereka sedar berhubung suara hati rakyat. Jika tidak, mengapa mereka melaksanakan pelbagai dasar proaktif untuk membela nasib rakyat? Pembentangan Belanjawan 2020 pada Jumaat turut mencerminkan komitmen berkenaan dengan penekanan diberikan kepada isu pendidikan dan kesihatan.

Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk pihak-pihak tertentu terus mengecam dan membuat tanggapan (generalisation) terhadap Kerajaan. Sudah pasti ada sebab-musababnya mengapa mereka mengambil keputusan yang sedemikian.

Sesungguhnya, menguruskan sebuah negara berbilang kaum dan agama, bukanlah satu tugas mudah. Malah, tugas tersebut bertambah kompleks apabila kadar hutang negara masih berada pada tahap tinggi ekoran skandal kewangan yang menggemparkan dunia tidak berapa lama dahulu.

Jika ada antara pihak yang tidak berpuas hati, usahlah menangguk di air keruh. Sebaliknya, manfaatkan saluran-saluran yang ada untuk mengadakan konsultasi dengan pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

Langkah terbaik agar kritikan dan tohmahan itu tidak kedengaran lagi adalah dengan memastikan semua janji yang terkandung dalam Belanjawan itu dikotakan. Rakyat hanya mahu melihat segala dasar dan janji-janji yang diberikan, dilaksanakan dengan telus sekaligus memberi impak besar kepada kehidupan mereka.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.