2 SEPTEMBER — Kebanyakan daripada kita pastinya pernah menerima pelbagai mesej dan kandungan video daripada sahabat-sahabat dalam kumpulan WhatsApp. Ada yang berbaur perkauman, agama dan tidak kurang juga, kandungan-kandungan yang berunsur fitnah.

Yang peliknya, mereka yang menyebarkan kandungan-kandungan sedemikian tidak pula menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menentukan kesahihan kandungan yang disebarkan tetapi sebaliknya menyebarkan secara membuta-tuli.

Hanya disebabkan oleh orang lain menyebarkan kandungan itu kepada dirinya, maka dirinya juga terpanggil untuk menyebarkan pula kandungan berkenaan kepada orang lain.

Namun demikian, sedarkah anda perbuatan tersebut sebenarnya boleh mencetuskan kegelisahan dan panik dalam kalangan masyarakat? Menyebarkan kandungan-kandungan tidak sahih tidak banyak bezanya dengan tindakan menyebarkan pembohongan.

Advertisement

Malangnya, apa yang dapat kita perhatikan mutakhir ini, tindakan terbabit semakin menjadi-jadi seolah-olah sudah menjadi satu amalan biasa dalam kalangan pengguna media sosial. Ada mesej, sebar. Ada video, sebar. Pendek kata, sebar.

Keghairahan untuk menyebar ini jugalah yang boleh membahayakan keselamatan diri seseorang. Cuba bayangkan jika berita yang disebarkan itu tidak benar dan melibatkan keselamatan nasional, apa yang akan berlaku kepada kita semua? Bagaimana pula jika kandungan itu adalah sahih tetapi orang tidak mempercayainya disebabkan perbuatan terdahulu?

Oleh yang demikian, adalah kritikal untuk pengguna media sosial sentiasa beringat bahawa bukan semua kandungan yang harus dikongsi atau disebarkan, lebih-lebih lagi membabitkan isu perkauman, agama, dan institusi diraja.

Advertisement

Sekiranya masih beria-ia untuk menyebarkannya, fikir terlebih dahulu apakah kesan kepada orang lain. Apa yang mungkin tidak sensitif kepada anda sendiri, mungkin membawa pengertian yang berbeza kepada orang lain. Dalam erti kata lain, sentiasalah mengambil kira sensitiviti orang lain juga.

Selain itu, cuba tanya kepada diri sendiri apakah motif atau tujuan untuk kita menyebarkan kandungan yang dimaksudkan kepada orang lain? Adakah ia disebarkan semata-mata untuk memprovokasi pihak satu lagi ataupun benar-benar kerana ingin berkongsi maklumat penting kepada orang lain? Sekiranya motif adalah untuk memprovokasi orang awam, maka jangan terkejut sekiranya tindakan diambil terhadap anda oleh pihak berkuasa.

Pokok-pangkalnya, janganlah menyalahgunakan platform media sosial untuk menyemai kebencian. Alangkah baiknya jika platform berkenaan dimanfaatkan dengan berita atau kandungan yang positif dan bermanfaat. Yang baik itu kita jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.