Iktibar di sebalik pergolakan di Hong Kong

29 JULAI — Apa yang sedang berlaku di Hong Kong ketika ini amatlah membimbangkan. Apa yang dianggap sebagai satu demonstrasi jalanan oleh penduduk di sana bagi membantah campur tangan Beijing dalam pentadbiran Hong Kong kini bertukar ganas.

Saban hari, demonstrasi yang dijalankan bukan sahaja menganggu rutin dan perjalanan hidup majoriti rakyat di sana bahkan melumpuhkan terus aktiviti ekonomi di negara berkenaan.

Kedegilan para penunjuk perasaan yang tidak mahu berganjak dan berkonfrontasi dengan pihak polis dan kerajaan nampaknya meletakkan pentadbiran Hong Kong di bawah kepimpinan Carrie Lam dalam keadaan yang serba-salah.

Di satu sudut, beliau cuba untuk tidak menggunakan kekerasan bagi meleraikan demonstrasi berkenaan manakala daripada perspektif yang lain pula, beliau perlu memastikan bahawa sebarang tindakan yang diambil itu tidak meletakkan Beijing dalam keadaan tertekan.

Siri demonstrasi jalanan ini yang sudah memasuki minggu kelapan penganjuran nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda. Sebaliknya, melihat kepada gerak-geri dan tindak-tanduk mereka, berkemungkinan besar situasi akan menjadi lebih tegang.

Persoalannya, apakah tujuan sebenar demonstrasi dijalankan? Benarkah semuanya berpunca daripada niat pentadbiran Hong Kong untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk membenarkan ekstradisi ke Tanah Besar China semata-mata? Ataupun ada perkara di belakang yang mungkin kita tidak ketahui?

Juga, siapakah kumpulan yang mendalangi siri demonstrasi ini? Apakah wujud campur tangan kuasa luar atau ghaib yang mungkin mahu mengambil kesempatan di sebalik hubungan tegang antara Beijing-Washington untuk mencetuskan ketidakstabilan di wilayah tersebut? Momentum daripada pihak penunjuk perasaan adalah konsisten dan ini juga mencetuskan pelbagai tanda-tanya apakah ada pihak tertentu yang menyokong atau menggerakkan kempen anti-China ini?

Setakat ini, kerajaan Hong Kong dilihat agak berhati-hati dalam usaha mereka meleraikan siri demonstrasi. Namun, mereka tidak mempunyai banyak pilihan untuk bertindak jika keadaan menjadi tidak terkawal. Sama ada kerajaan Hong Kong perlu bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan ataupun mengalah dengan gelagat penunjuk perasaan.

Seandainya tindakan yang diambil tidak tegas, ia akan mewujudkan satu precedent yang berbahaya yang akan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu sekaligus memberi gambaran bahawa kerajaan di sana hilang legitimasi.

Terkenal sebagai hub kewangan di rantau Asia, kini Hong Kong berhadapan dengan masa depan yang malap dan tidak menentu. Berapa lama lagi demonstrasi jalanan ini akan berlarutan? Apakah reaksi Beijing terhadap tindak-tanduk penunjuk perasaan tersebut? Mungkinkah Hong Kong akan kembali kepada satu negara, satu sistem? Ini adalah antara persoalan yang akan terus bermain dalam fikiran ramai pihak untuk satu tempoh masa akan datang.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles