22 JULAI — Isu video intim yang dikatakan membabitkan seorang Menteri kanan Kabinet nampaknya masih belum reda. Sebaliknya, suhu politik di negara kita kian berkocak dengan pelbagai tohmahan, dakwaan dan “power play” yang berlaku di belakang tabir.

Tiada siapa tahu apakah kesudahannya dalam episod hitam ini. Ada yang mungkin akan tersungkur di pertengahan jalan dan tidak kurang juga, mereka yang akan terus bertahan. Dalam dunia politik, survival atau kelangsungan adalah keutamaan semua politikus.

Isu seks bukanlah isu baharu dalam kancah politik negara. Sudah berkali-kali isu tersebut dijajakan sebagai modal untuk menamatkan kerjaya politik seseorang pemimpin dan meraih sokongan.

Tetapi adakah ini sahaja yang mampu ditawarkan oleh pemimpin kepada rakyat? Apakah mereka sudah lupa akan janji-janji manis mereka kepada para pengundi? Apakah tugas untuk meraih jawatan dalam parti mahupun kerajaan begitu penting sehinggakan agenda rakyat dikesampingkan?

Advertisement

Jujur kata, para pengundi sebenarnya sudah muak dengan budaya berpolitik yang jijik ini. Apakah seluruh jentera pentadbiran dan pihak berkuasa harus memberi perhatian kepada isu ini sehingga mengakibatkan banyak masa yang terbuang untuk isu yang tidak bermanfaat itu.

Harus diingat bahawa pemimpin diangkat dan disokong kerana kemampuannya untuk membela nasib rakyat. Maka kerana itu, laksanakan tanggungjawab mereka yang telah diamanahkan oleh rakyat dengan sebaik mungkin.

Amatlah malang sekiranya mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu disia-siakan begitu sahaja dengan isu-isu yang kurang penting. Ini kerana, masih begitu banyak agenda yang perlu direncanakan oleh Kerajaan bagi memastikan negara tercinta ini terus mara ke hadapan.

Advertisement

Para pemimpin politik perlu sedar bahawa segala gerak-geri dan tindak-tanduk mereka sedang diperhatikan oleh khalayak. Oleh itu, adalah kritikal untuk mereka sentiasa menjunjung tinggi etika dan profesionalisme ketika berpolitik.

Cukup-cukuplah dengan isu seks dan masalah peribadi pemimpin-pemimpin politik yang tidak berkesudahan. Kita harus melihat dan melangkah ke hadapan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.