17 JUN — Nampaknya politik di negara kita masih belum mencapai tahap kematangan yang diharap-harapkan. 

Segala macam harapan dan aspirasi agar arena politik negara dapat melangkah ke era baharu selepas PRU-14 hanya tinggal impian semata-mata.

Apa yang berlaku sepanjang minggu lalu dengan pendedahan beberapa klip video seks yang menyerupai seorang Menteri Kabinet merupakan satu lagi titik hitam dalam arena politik negara. Jelas, ada pelaku-pelaku tertentu yang mendalangi penyebaran klip video berunsur lucah masih terbawa-bawa dengan sikap buruk mereka.

Ini juga satu petanda jelas bahawa masih ada pihak tertentu yang berpendapat bahawa taktik politik kotor sebegini masih menjadi senjata ampuh untuk meraih simpati orang ramai. Semuanya dilakukan dengan tujuan iaitu untuk menjatuhkan dan mengaibkan maruah seseorang pemimpin politik.

Advertisement

Bagi pihak atau kumpulan tertentu yang terlibat, barangkali itulah cara terbaik untuk menyerang imej seteru mereka. Pada pandangan mereka, dengan menjatuhkan imej seseorang menggunakan isu seks, maka berakhirlah kerjaya politik pemimpin-pemimpin berkenaan.

Namun begitu, usah memandang remeh akan kebijaksanaan rakyat dalam hal ini. Rakyat kini bijak membezakan apa yang baik dan apa yang tidak baik. Cuma, mereka tidak bersuara sekarang tetapi pada peti undi nanti. Mereka sedang memerhati dan menilai.

Berdasarkan kepada komen-komen yang dilontarkan oleh netizens, ramai meluahkan rasa jijik dan kekecewaan mereka dengan budaya berpolitik sebegini. Ini sebenarnya tanda bahawa budaya sedemikian sudah tidak mendapat tempat dalam hati masyarakat di negara ini. Masyarakat bahkan negara kita bukan sahaja tidak akan mendapat apa-apa manfaat daripada skandal-skandal berkenaan melainkan imej buruk yang ditinggalkannya.

Advertisement

Sebaliknya, masyarakat atau rakyat di negara ini mahu kepimpinan yang dipilih pada PRU-14 lalu menunaikan tanggungjawab dan memberi tumpuan kepada usaha membela nasib rakyat yang masih terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Yang pasti, rakyat berhak untuk mendapat kualiti pemimpin dan politiking yang sihat, bukannya gutter politics seperti yang kita lihat sekarang. Kepada mereka yang ingin meraih sokongan rakyat, ini bukanlah caranya. Bertanding secara sihat dan buktikan kewibawaan melalui tindakan anda, bukan retorik semata-mata.

Terdapat perkara-perkara lebih mendesak yang memerlukan perhatian pihak kerajaan; daripada usaha mengurangkan beban hutang negara sehinggalah kepada usaha membanteras gejala rasuah yang masih berleluasa.

Justeru, cukup-cukuplah dengan skandal seks yang tidak berkesudahan!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.