10 JUN — Kecoh dan heboh, begitulah senario yang boleh digambarkan susulan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Puan Latheefa Koya yang baharu menggantikan Datuk Shukri Abdull, minggu lalu.

Semuanya gara-gara kerana pelantikan beliau sebagai KP SPRM yang baharu dibuat tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada Kabinet.

Berita mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu mengundang pelbagai reaksi. Dalam kalangan individu yang mengenali beliau, pelantikan tersebut dilihat tepat pada masanya. Sikapnya yang tegas dan tidak gentar untuk menegur mana-mana pihak termasuk pemimpin parti politiknya sendiri satu ketika dahulu dilihat satu kelebihan buat dirinya lebih-lebih lagi berada dalam sebuah organisasi yang begitu penting seperti SPRM.

Manakala, bagi mereka yang tidak sependapat dan pernah bertembung dengannya, pelantikan tersebut disambut dengan perasaan sinis dan terkini, ada petisyen yang dimulakan bagi memaksa beliau untuk meletak jawatan. Alasannya, Kabinet tidak dirujuk berhubung pelantikan berkenaan dan wujud kesangsian sejauhmanakah ketelusannya memandangkan beliau pernah menjawat jawatan penting dalam sebuah parti politik.

Advertisement

Amat malang apabila isu ini telah dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu yang menggambarkan seolah-olah tokoh dipilih oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir itu sudah bersalah dan tidak layak diangkat sebagai Ketua Pesuruhjaya.

Namun demikian, bagi rakyat marhaen seperti penulis sendiri, apa yang lebih penting bukanlah sama ada seseorang itu daripada parti politik mana mahupun memenuhi tuntutan manifesto pakatan tertentu. Sebaliknya, apa yang dituntut oleh rakyat ialah seorang Ketua Pesuruhjaya yang telus, terbuka, komited dan tidak gentar untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.

Jika tokoh yang dipilih itu mampu membanteras gejala rasuah hingga ke akar umbi, apa salahnya? Jika beliau bersungguh-sungguh membasmi gejala rasuah tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang, salahkah beliau?

Advertisement

Bukankah agenda membanteras rasuah adalah jauh lebih penting daripada bertelagah dan merungut mengenai prosedur pelantikan tokoh terbabit?

Agenda membanteras rasuah bukanlah satu tugas mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan masa. Justeru, pemimpin yang dilantik perlulah diberi masa untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif tersebut agar inisiatif-inisiatif yang dimaksudkan itu benar-benar memberi impak kepada rakyat.

Janganlah cepat menjatuh hukum terhadap KP SPRM yang baharu memegang jawatan tertinggi itu hanya kerana sejarah silamnya dahulu. Malah, setiap agama sentiasa menganjurkan penganutnya untuk bersangka baik terhadap orang lain.

Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri mengenai pemilihan calon KP SPRM tidak mungkin dapat memuaskan hati semua pihak. Terpulanglah kepada mereka yang berkenaan untuk menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka ataupun sebaliknya. Dalam politik, seseorang itu tidak selalunya menang. Ada kalanya mereka harus bersikap fleksibel dan melihat sesuatu keputusan daripada perspektif yang lebih luas atau dalam Bahasa Inggerisnya “look at the bigger picture.”

Ini bukanlah masanya untuk bertelagah dan mempersoalkan pemilihan tersebut. Lagipun, pelantikan berkenaan telah pun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pokok-pangkalnya, ada perjuangan lebih penting yang perlu diteruskan iaitu membasmi rasuah di negara ini.

Selagi ada pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh, maka selagi itulah agenda untuk membasmi rasuah akan tinggal impian semata-mata. Kecemerlangan SPRM dalam membanteras gejala rasuah sepanjang dua tiga tahun kebelakangan ini wajar dipuji dan momentum berkenaan harus diteruskan. Semua pihak sama ada rakyat mahupun pemimpin politik sewajarnya memberi kerjasama kepada SPRM dalam menjayakan misi murni ini agar negara kita akan bebas rasuah dan menjadi sebuah negara yang disegani.

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.