13 MEI ― Semalam merupakan hari penentuan untuk Liga Perdana Inggeris musim 2018/19. Musim ini menyaksikan saingan sengit antara dua pasukan handalan iaitu Manchester City dan Liverpool. Masing-masing enggan mengalah.

Persaingan sengit ini membuatkan penyokong daripada kedua-dua belah pihak tidak senang duduk. Kalangan penyokong tegar pula begitu taksub dan mengharapkan pasukan mereka menang.

Bercakap mengenai isu taksub ini, pastinya kita pernah terdengar individu-individu tertentu yang taksub dengan pemimpin, parti politik mahupun dengan ideologi perjuangan mereka.

Ketaksuban itu juga secara tidak langsung membuatkan mereka ini alpa, defensif dan enggan mendengar pandangan ataupun kritikan daripada orang lain. Apa sahaja yang diperkatakan oleh pihak lain enggan diterima. Bagi golongan ini, pandangan mereka sahaja yang betul dan harus diterima pakai. Mereka ini bagaikan dalam dunia mereka sendiri.

Advertisement

Sikap sebegini dilihat kian menjadi-jadi akhir-akhir ini. Lihat sahaja kepada komen dalam laman media sosial, bermacam-macam komen diberikan tanpa segan-silu. Ada pula yang sanggup memaki-hamun, mengeluarkan kata-kata kesat jika tidak sependapat dan menidakkan pandangan orang lain walaupun pandangan yang diberikan oleh pihak satu lain sebenarnya bernas. Di manakah sifat kewarasan dan kerasionalan mereka ini?

Dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum seperti Malaysia, kita tidak dapat lari daripada perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat tidak semestinya tidak baik dan dikaitkan dengan elemen yang negatif. Dalam sebuah demokrasi, perbezaan pendapat menjadi semak dan imbang kepada pemerintahan sesebuah kerajaan. Adanya perbezaan pendapat bermakna masyarakat mahu terlibat sama dan ambil tahu mengenai apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam negara.

Namun, di sebalik perbezaan pendapat itu, tidak bermakna mana-mana pihak mempunyai hak untuk menetapkan pandangannya mesti diterima oleh pihak lain. Tindakan kumpulan individu sedemikian adalah ekstrem dan boleh mengundang pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan.

Advertisement

Alangkah baiknya jika setiap rakyat di negara ini mengambil sikap toleran antara satu sama lain. Amalkan sifat kesederhanaan ketika menyelesaikan sesuatu isu. Amarah tidak mungkin akan menyelesaikan masalah yang berbangkit. Cari titik persamaan dan selesaikannya dalam semangat muafakat dan kekeluargaan, bukannya menaruh syak-wasangka.

Satu ketika dahulu, Malaysia terkenal dengan masyarakatnya yang bertolak ansur. Mengapa tidak, kembalikan sikap tolak ansur itu yang menjadi tunjang utama kepada perpaduan negara sejak sekian lama.

Malang sungguh jika disebabkan oleh amarah dan tindakan segelintir pihak, perpaduan negara hancur begitu sahaja. Pada saat itu nanti, segalanya mungkin sudah terlambat.

Mahukah kita menuju ke arah itu? Oleh itu, janganlah terlalu taksub dalam kehidupan seharian kita.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.