25 MAC — Dalam tempoh seminggu, kita menyaksikan “the best and the worst” di New Zealand.

Yang dimaksudkan dengan yang terbaik adalah solidariti dan sokongan padu rakyat New Zealand untuk mempertahankan sahabat-sahabat mereka yang beragama Islam daripada serangan pengganas.

Pada tempoh itu juga, tragedi hitam yang menimpa negara berkenaan. Seorang penjenayah kulit putih bertindak menembak secara rambang ke atas jemaah di dua buah masjid di Christchurch. Dalam serangan itu, 50 orang dilaporkan terkorban.

Apa yang berlaku di New Zealand amatlah mendukacitakan dan tragis. Kejadian tembakan itu bukan sahaja merupakan satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan bahkan juga memberi isyarat bahawa keganasan kini kerap digunakan sebagai senjata untuk mencapai matlamat yang dimahukan.

Advertisement

Reaksi balas yang diberikan oleh Perdana Menteri, Jacinda Ardern dalam satu sidang media susulan tragedi hitam itu apabila beliau enggan menamakan penjenayah berkenaan, satu tindakan yang cukup bijak.

Tindakan beliau itu menghantar mesej yang cukup kuat dan sekaligus menutup segala ruang yang diinginkan oleh penjenayah untuk mendapat liputan yang dimahukannya.

Pengumuman kerajaan New Zealand bahawa sesi bertafakur selama dua minit akan diadakan selain penyiaran laungan azan menerusi siaran televisyen dan radio di seluruh negara itu merupakan satu isyarat yang cukup simbolik buat umat Islam di sana.

Advertisement

Inilah cara terbaik untuk kita melawan keganasan. Keganasan tidak dibalas dengan keganasan sebaliknya dibalas dengan solidariti dan sokongan kepada umat Islam. Malahan ada juga penduduk-penduduk di New Zealand dari agama yang berbeza yang sanggup berdiri di luar masjid semata-mata untuk melindungi dan membolehkan umat Islam dapat bersembahyang tanpa sebarang gangguan.

Mudah-mudahan solidariti yang ditunjukkan ini akan membuka mata semua pihak bahawa keganasan dibalas dengan keganasan hanya akan membawa kesudahan yang buruk. Daripada memberi reaksi balas yang ganas, bukankah lebih baik jika kita menyemaikan semangat kasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain? Nescaya, dengan semangat kasih sayang dan hormat-menghormati yang utuh, pastinya dunia ini akan menjadi lebih aman.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.