4 MAC — Satu-satunya perkara yang membangkitkan minat saya semenjak kebelakangan ini adalah untuk mendalami sikap ataupun kerenah seseorang manusia.

Minat tersebut timbul apabila sering kali saya diperalatkan oleh individu-individu yang bergelar sebagai sahabat baik semasa waktu senang dahulu. 

Lantaran itu, tertanya-tanya dalam fikiran saya mengapakah mereka boleh berubah dengan begitu cepat sekali? Apakah puncanya? Dan sejauhmanakah tindakan tidak bertanggungjawab itu mampu memberi kepuasan kepada mereka?

Walaupun saya tidak mempunyai jawapan kepada persoalan-persoalan di atas, namun saya sedar sikap manusia boleh berubah mengikut keadaan di sekelilingnya. Apabila diasak bertubi-tubi dengan tohmahan atau fitnah tidak berasas, pastinya mereka akan mengambil sikap bertahan dan defensif.

Advertisement

Apabila dipertikaikan kredibilitinya pula, mereka dengan lantang akan menyerang dan menafikan bahawa mereka terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Semua ini adalah escapisme yang sering menjadi jalan mudah untuk mengelak daripada berhadapan dengan masalah baik di tempat kerja, hubungan dengan rakan sepejabat, suami isteri mahupun dengan sahabat-sahabat baik anda.

Tetapi apa yang tidak disedari ialah tindakan berkenaan akan memberi kesan jangka panjang kepada persepsi umum terhadapnya selain menjejaskan hubungan persahabatan yang telah terjalin selama ini.

Advertisement

Bercakap mengenai isu yang sama, tidakkah anda sedar bahawa sikap sedemikian semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemimpin politik negara dari kedua-dua pihak ketika ini? Di pihak pemerintah umpamanya, sering kedengaran mutakhir ini dari kalangan pemimpin mereka agar rakyat memberikan lebih banyak masa untuk memperbetulkan kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu. 

Pada hemat saya, gesaan oleh kerajaan kepada rakyat untuk memberikan masa lebih kepadanya untuk memperbetulkan kerosakan adalah tidak salah.

Bagaimanapun, pihak pemerintah perlu berwaspada dan bijak menghidu sekiranya timbul ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

Jika benarlah keadaan sedemikian, mereka tidak seharusnya menuding jari terhadap mana-mana pihak sebaliknya bermuhasabah diri dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memperbaiki keadaan semasa. Keputusan dua Pilihan Raya Kecil di Cameron Highlands dan Semenyih yang tidak memihak kepada pihak pemerintah jelas membuktikan wujudnya undi protes daripada pengundi. Kepada pihak pembangkang pula, mereka juga harus mempamerkan kematangan mereka ketika berpolitik dan bukannya mengapi-apikan sesuatu isu demi kelangsungan politik mereka.

Pokok-pangkalnya, janganlah berubah sikap hanya kerana mengikut kepentingan peribadi. Apa yang lebih penting ialah berpegang teguh kepada prinsip dan jati diri anda. Sekiranya dilanda masalah, hadapinya dengan penuh kesabaran dan bukannya mengelak ataupun langsung tidak mahu mengambil tahu. Itulah tanda seorang manusia yang bermaruah dan berprinsip.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.