4 FEBRUARI — Ketika artikel ini ditulis, saya percaya kebanyakan daripada anda khususnya masyarakat Tionghua di negara ini kini sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut esok.

Rata-ratanya berharap dapat sampai awal ke destinasi untuk menghadiri majlis makan besar yang menjadi satu kemestian dalam setiap keluarga masyarakat Tionghua.

Namun demikian, harapan untuk sampai awal ke kampung halaman mungkin tidak semudah itu memandangkan sahabat-sahabat kita yang tidak merayakan Tahun Baharu Cina, akan turut mengambil kesempatan sempena cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman untuk bersama dengan keluarga tersayang.

Ini bermakna, tempoh perjalanan ke kampung halaman yang sepatutnya hanya mengambil masa selama beberapa jam, kini mungkin memakan masa yang jauh lebih lama daripada kebiasaannya.

Advertisement

Begitu pun, kesesakan jalan raya yang luar biasa tidak wajar dijadikan sebagai alasan untuk pemandu kereta, lori, treler, van mahupun pembonceng motosikal untuk melanggar peraturan jalan raya semata-mata ingin cepat sampai ke destinasi.

Adalah tidak munasabah dan masuk akal untuk mereka melanggar peraturan jalan raya sedangkan pihak seperti PLUS telah memberikan panduan atau advisory tentang bilakah masa yang sesuai untuk memulakan perjalanan. Justeru, apabila panduan sedemikian tidak diendahkan dan peraturan jalan raya diingkari, mereka tidak memberikan banyak pilihan kepada pihak berkuasa selain mengenakan tindakan terhadap mereka.

Pendirian dan ketegasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini bahawa tidak ada sebarang diskaun diberikan untuk si pesalah merupakan keputusan tepat. Ketegasan yang ditunjukkan itu sangat kritikal bagi menghantar mesej betul kepada pengguna jalan raya di Malaysia bahawa sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya perlulah ditangani dengan cara yang betul.

Advertisement

Tindakan memberikan diskaun kepada si pesalah sebelum ini bukan sahaja memperlekehkan undang-undang yang telah ditetapkan bahkan juga memberi gambaran seolah-olah perbuatan melanggar undang-undang jalan raya adalah dibenarkan.

Oleh yang demikian, kepada mereka yang masih menaruh harapan agar diskaun akan diberikan untuk kompaun yang diterimanya, berhentilah bermimpi. Jika berani buat, beranilah menanggungnya. Usahlah memberi sebarang alasan seperti tidak mampu membayar kompaun tersebut ataupun ada banyak komitmen yang perlu ditanggung. 

Yang menghairankan, kenapa mereka tidak berfikir terlebih dahulu sebelum melanggar undang-undang jalan raya? Nampak sekali, mereka memandang enteng dan langsung tidak menghormati undang-undang jalan raya.

Disebabkan aspek penguatkuasaan yang lemah dan tidak konsisten, pengguna jalan raya di negara ini sudah tidak gerun dan berani untuk melanggarnya.

Soalnya, sampai bilakah kita harus berhadapan dengan situasi sebegini? Masanya sudah tiba untuk pihak berkuasa untuk bertindak tanpa memilih bulu. Sekiranya keputusan yang diambil itu mungkin tidak popular tetapi dilihat baik dalam tempoh jangka panjang, laksanakannya dengan penuh keazaman. Sebarang keputusan yang diambil haruslah mengutamakan kepentingan nasional dan ketertinggian undang-undang negara.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.