14 JANUARI — Lewat hujung tahun lalu, negara kita dikejutkan dengan insiden rusuhan yang berlaku di sebuah rumah ibadat di Petaling Jaya. Dalam insiden tersebut, ada individu-individu tidak berdosa yang cedera gara-gara tindakan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kemudian, ada pula perbuatan oleh individu-individu tertentu yang cuba menyebarkan khabar angin dan maklumat palsu terhadap sesuatu isu rentetan daripada apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Menerusi media sosial, bermacam-macam isu cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu dengan harapan mereka dapat memberi gambaran bahawa keadaan dalam negara tidaklah sebaik seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Yang mereka inginkan hanyalah bibit-bibit perpecahan dan sengketa yang akan membawa negara ke arah kehancuran. Gambaran ‘separuh masak’ mengenai keadaan semasa dalam negara termasuklah hubungan antara kaum yang dikatakan kurang baik hanyalah perbuatan terdesak segelintir pihak untuk melihat kehancuran negara tercinta ini.

Advertisement

Benarkah begitu? Sebagai seorang bekas pelajar St John’s Institution, sebuah institusi pendidikan tersohor negara, hubungan antara para pelajar, alumni dan guru sekolah cukup akrab. Apa yang digembar-gemburkan mengenai hubungan antara kaum yang kian luntur, tidak berlaku di sekolah kami, St John’s Institution.

Kami di sini ibaratkan sebuah keluarga besar. Masa senang, kita melangkah bersama dan semasa waktu susah, kita tetap bersama mengharungi segala cabaran mendatang. Biarpun datang daripada pelbagai latar belakang, kaum mahupun agama, perkara itu tidak sesekali menghalang kami untuk bergaul antara satu sama lain di sekolah. Malah, kepelbagaian yang wujud ini diraikan dengan penuh hormat.

Presiden SJAA Isham Ishak (kanan sekali) bersama-sama dengan wakil pelajar St John’s Institution tahun 1997 (dari kiri: Nizam Reza, Farique Salman dan Khalid Qayum) menziarahi seorang Johannian yang sakit di hospital.
Presiden SJAA Isham Ishak (kanan sekali) bersama-sama dengan wakil pelajar St John’s Institution tahun 1997 (dari kiri: Nizam Reza, Farique Salman dan Khalid Qayum) menziarahi seorang Johannian yang sakit di hospital.

Sahabat-sahabat Melayu bergaul dengan sahabat Cina, India, Serani dan lain-lain, semuanya menghormati antara satu sama lain. Tidak berbangkit anda adalah Melayu, Cina mahupun India. Sebaliknya, kami adalah Johannian dalam sebuah keluarga besar. Memetik kata-kata dalam bahasa Cina, “wo men dou shi yi jia ren”.

Advertisement

Justeru, apabila salah seorang daripada rakan sekolah kami jatuh sakit dan terlantar di hospital memohon bantuan kewangan untuk meringankan beban kos pembayaran bil hospitalnya baru-baru ini, reaksi yang diberikan oleh Johannians cukup membanggakan.

Tidak sampai seminggu selepas rayuan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membiayai kos rawatannya, jumlah kutipan yang berjaya dikumpul melebihi apa yang disasarkan.

Lebih mengharukan, yang tampil menghulurkan sumbangan berupa wang tunai bukan sahaja terdiri daripada para pelajar tetapi juga dalam kalangan guru-guru sekolah yang sudah bersara. Mereka ini tanpa mengira kaum dan agama, berbesar hati menghulurkan sumbangan kerana mereka berpegang teguh kepada prinsip membantu golongan yang memerlukan.

Semangat yang ditunjukkan oleh warga Johannian dan guru-guru sekolah yang bersara dalam hal ini amat membanggakan. Tatkala terdapat suara-suara sumbang yang mahu memecah-belahkan negara, tindakan mereka itu merupakan tindakan yang segar (refreshing) dan membuktikan majoriti rakyat di Malaysia masih toleran, bertimbang-rasa serta pemurah.

Siapa kata ada masalah hubungan antara kaum di negara ini? Siapa kata wujud prasangka antara mereka? Nah, inilah buktinya bahawa segalanya masih berada dalam keadaan yang memuaskan. Kepada pihak-pihak sedemikian, usahlah menyebarkan berita-berita tidak sahih yang hanya boleh mencetuskan situasi yang tidak diingini.

Kepada warga Johannian yang tampil membantu dalam misi murni ini, syabas diucapkan kerana anda telah membuktikan kepada perbezaan kaum dan agama bukanlah penghalang untuk membantu insan lain yang ditimpa kesusahan.

Buat St John’s Alumni Association (SJAA), persatuan yang memayungi bekas-bekas pelajar sekolah, setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Presidennya, Isham Ishak serta barisan kepimpinan alumni kerana memberikan sokongan dan bantuan bukan sahaja kepada sahabat kami terapi juga Johannian lain yang memerlukan. Sesungguhnya, inilah semangat Johannian sebenar yang patut dibanggakan.

Pastinya, berita ini merupakan berita positif dan terbaik untuk membuka tirai tahun baharu 2019.

*Penulis di atas merupakan bekas pelajar St John’s Institution.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.