26 NOVEMBER ― Enam bulan sudah berlalu sejak kerajaan Persekutuan yang baharu menerajui pemerintahan negara ini.

Sepanjang tempoh singkat ini, harapan dan jangkaan diletakkan pada pimpinan kerajaan baharu ini untuk mengangkat dan memacu Malaysia ke satu era yang lebih gemilang.

Pastinya, dengan harapan dan jangkaan tinggi daripada rakyat, ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pimpinan kerajaan baharu ini untuk menunaikan segala janji yang diumumkan dalam manifesto PRU.

Kini, kuasa dan amanah telah diberikan oleh rakyat kepada kerajaan baharu untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memelihara kebajikan rakyat.

Advertisement

Namun, jangan pula disebabkan sudah adanya kuasa yang dimiliki, sikap lama pula diamalkan kembali.

Salah satu daripada sikap negatif yang ditunjukkan oleh segelintir menteri Kabinet baru-baru ini adalah untuk menuding jari terhadap kepimpinan kerajaan terdahulu atas permasalahan yang melanda negara. Begitu juga dengan sikap blok pembangkang yang turut mengamalkan rentak yang sama.

Tidak dinafikan, kepimpinan kerajaan terdahulu ada melakukan kesilapan dan sesuatu yang tidak sepatutnya. Malah, mereka yang bertanggungjawab atas kerosakan itu kini sedang disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. Justeru, biarlah mereka yang terlibat itu diadili berlandaskan kepada undang-undang negara.

Advertisement

Akan tetapi, ruang untuk menuding jari kepada pihak lain perlu dihentikan.  Sampai bila perbuatan menuding jari akan berlarutan? Hakikatnya, isyarat yang cuba disampaikan melalui tindakan sedemikian lebih mencerminkan ketidakmatangan berpolitik mereka untuk mencari jalan mudah keluar daripada berhadapan dengan masalah yang dihadapi.

Kenapa perlu menuding jari dan menyalahkan antara satu sama lain? Kenapa tidak tampil dengan satu pendekatan yang lebih telus, jujur dan “hands-on”? Sebagai pemimpin yang telah diamanahkan untuk mentadbir negara, tugas anda adalah untuk mentadbir urus negara dengan sebaik mungkin. Sekiranya ada dasar-dasar yang ingin dilaksanakan dilihat tidak bersesuaian dengan kepentingan rakyat dan kehendak semasa, maka ada baiknya ia diperhalusi semula. Kepada blok pembangkang pula, berperananlah sebagai sebuah blok yang progresif dan bukannya membangkang semata-mata untuk membangkang.

Selain itu, buat kepimpinan kerajaan sedia ada, gunakanlah kuasa yang ada pada anda untuk membela nasib rakyat dan manjadi seorang pemimpin yang lebih baik daripada pemimpin sebelumnya. Sentiasa bersedia untuk menerima pandangan dan teguran daripada rakyat sekiranya ada tindak-tanduk yang dianggap kurang tepat.

Jangan sesekali beranggapan bahawa teguran yang diberikan itu adalah untuk melemahkan semangat pemimpin. Sekiranya tidak ada teguran membina yang diberikan, berkemungkinan besar ada pemimpin yang akan lupa diri dan terbawa-bawa dengan sikap yang tidak baik.

Pendek kata, teguran-teguran yang diberikan itu adalah untuk kebaikan bersama.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.