12 NOVEMBER — Dua minggu lalu, Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng membentangkan belanjawan bersejarah, yang pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan sejak meneraju tampuk kepimpinan kerajaan Persekutuan, enam bulan yang lalu.

Secara keseluruhannya, intipati Belanjawan 2019 memberikan fokus yang menyeluruh kepada aspek pendidikan, tadbir urus negara yang lebih telus serta penekanan kepada nasib golongan B40.

Sektor pendidikan dilaporkan menerima peruntukan yang terbanyak dalam Belanjawan 2019 ini, bukti bahawa kerajaan baharu ini tekad untuk melahirkan lebih ramai warganegara berintegriti yang berupaya menyumbang kembali kepada negara.

Bagaimanapun, seperti kelazimannya, di sebalik kesungguhan dan azam pihak kerajaan untuk menyediakan Belanjawan yang lebih komprehensif, masih ada pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan dan menyifatkannya sebagai retorik dan tidak banyak bezanya dengan belanjawan-belanjawan sebelum ini.

Advertisement

Ada suara-suara sumbang oleh pihak-pihak tertentu yang mendesak kerajaan untuk mengkaji semula Belanjawan 2019 ini kerana ada golongan yang didakwanya telah dipinggirkan umpamanya nelayan dan petani. Begitu juga keluhannya bahawa ia juga memikirkan golongan belia.

Keluhan demi keluhan sebegini sebenarnya tidak memeranjatkan. Malah jika dilihat dari segi trend setiap kali pembentangan Belanjawan, pasti ada suara-suara berkenaan. Kumpulan-kumpulan ini berhak untuk menyuarakan kekecewaan dan kegelisahan mereka dan perbezaan pendapat haruslah diraikan, bukannya diketepikan begitu sahaja.

Namun begitu, pihak kerajaan pastinya mempunyai sebab-sebab tertentu untuk membentangkan belanjawan yang memberi fokus kepada membetulkan kembali keadaan ekonomi yang parah. Sudah tentu ketika merancang belanjawan tersebut, mereka pastinya telah memikirkan segala pandangan dan maklum balas oleh semua kumpulan masyarakat sebelum ia dibentangkan.

Advertisement

Maka dalam konteks ini, keutamaan ataupun perkara-perkara yang menjadi prioriti perlu didahulukan. Tidak bermakna aspek atau agenda lain tidak mendapat perhatian kerajaan cumanya mungkin tidak dapat dilaksanakan mutakhir ini. “You win and you lose some”, barangkali itulah yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi untuk segelintir kumpulan masyarakat.

Pada masa yang sama juga, elaklah daripada memberikan penghakiman atau kesimpulan melulu terhadap Belanjawan 2019 yang baru sahaja dibentangkan. Dalam kalangan politikus dari kedua-dua belah pihak, janganlah hanya menyokong mahupun membantah secara membuta-tuli. 

Jika menyokong, sokonglah berpaksikan kepada fakta dan kebenaran. Jika membantah pula, bantahlah secara rasional dan kemukakan hujah-hujah bernas mengapa bantahan tersebut dibuat.

Mudah-mudahan impak daripada pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini akan benar-benar dirasai oleh rakyat marhaen dalam tempoh terdekat. Selain itu, adalah menjadi harapan semua agar pihak pemerintah akan melakukan pemantauan secara rapi terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dijanjikan tempoh hari bagi tidak berlakunya ketirisan yang hanya akan merugikan rakyat dan negara.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.