29 OKTOBER — Sesiapa yang pernah menghadapi masalah kemurungan pastinya akan memberitahu anda bahawa ia bukan satu pengalaman yang menyeronokkan. 


Sebaliknya, ia satu tempoh yang cukup sukar, menyeksakan dan amat memenatkan hinggakan ada kalanya mereka yang menghadapi kemurungan memilih untuk akur kepada nasib.

Apa tidaknya, usaha untuk menangani kemurungan bukanlah semudah yang disangka oleh sesetengah pihak. Yang perlu ditangani dalam hal sedemikian adalah aspek psikologi dan kesihatan mental. 


Ini memerlukan satu pendekatan yang holistik dan bukannya pendekatan yang melulu bagi memastikan mereka yang menghadapi kemurungan tidak terus tersisih dan diberikan sokongan moral.


Advertisement

Maklumlah, mood seseorang boleh berubah dalam sekelip mata tanpa mereka menyedarinya. Untuk menangani perkara ini, kita perlu memahami masalah yang dihadapi oleh mereka. Bukan sahaja memahami tetapi juga meletakkan diri kita dalam posisi mereka.

Apa yang dinyatakan oleh Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini bahawa depresi atau kemurungan bakal menjadi penyakit kesihatan mental utama dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang 2020 bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Kini, semakin ramai orang yang mengalami stres akibat tekanan kerja dan keluarga.

Menurutnya, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2017, 29% rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12% pada 2011.

Advertisement

“Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres, dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

“Terdapat peluang lebih tinggi bahawa seseorang itu akan hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka,” tambahnya lagi.

Kepada mereka yang bertarung dengan kemurungan, amat penting untuk sentiasa tenang dalam menghadapi masalah yang dihadapi. Biarpun usaha untuk menanganinya mungkin mengambil masa yang lebih lama, apa yang perlu diingat adalah mereka tidak harus menyerah sebelum masuk untuk bertarung.

Dapatkan nasihat daripada kumpulan sokongan atau support group yang boleh membantu daripada segi nasihat dan panduan bagaimana untuk menguruskan masalah kemurungan.

Tidak ketinggalan, manfaatkan masa yang terluang untuk berdoa kepada Pencipta memohon petunjuk dan Hidayah daripadaNya agar masalah kemurungan dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

Kesemua langkah yang disebutkan tadi bagaimanapun tidak akan membawa sebarang makna sekiranya pihak yang mengalami kemurungan itu tidak mempunyai will-power untuk berhadapan dengan masalah yang dihadapinya.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.