22 OKTOBER ― Dewasa ini, begitu banyak kes penipuan atau scam dilaporkan di media massa.

Hampir setiap hari, ada sahaja laporan di media mengenai orang ramai ditipu atau menjadi mangsa penipuan kepada sindiket licik pihak-pihak tertentu. Bukan ratusan ringgit yang ditelan, tetapi ratusan ribuan ringgit hilang begitu sahaja.

Daripada Macau Scam, Love Scam hinggalah Ponzi Scam, semuanya mempamerkan tujuan yang serupa iaitu menipu pengguna.

Menariknya, golongan yang kena ditipu terdiri daripada pelbagai golongan dan latar belakang. Selain golongan warga emas dan wanita yang menjadi sasaran sindiket, golongan yang terpelajar turut menjadi mangsa.

Advertisement

Lebih menarik lagi, penipuan terus berlaku biarpun pelbagai inisiatif melalui kempen kesedaran dan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

Kempen kesedaran sudah dibuat. Sebuah jawatankuasa untuk memerangi jenayah siber turut ditubuhkan. Begitu juga dengan pesanan khidmat masyarakat di stesen-stesen radio dan televisyen di seluruh negara.

Apabila perkara tersebut berlarutan, pihak pertama yang pasti terkesan adalah pihak kerajaan itu sendiri. Perbuatan menuding jari terhadap agensi-agensi penguatkuasa menjadi satu fenomena yang lumrah.

Advertisement

Namun di sebalik insiden-insiden penipuan yang semakin berleluasa, bukankah juga para pengguna perlu memainkan peranan untuk memastikan diri mereka tidak terpedaya?

Sikap acuh tak acuh bahawa insiden sedemikian tidak akan menimpa diri mereka jelas satu percaturan yang silap. Disebabkan sikap sebegini jugalah semakin ramai pengguna yang tertipu. Dari itu, janganlah mudah dan cepat melenting kononnya pihak berkuasa tidak memberi peringatan pada hal sudah berbuih mulut perkara berkenaan diuar-uarkan di media massa.

Perlu diingatkan bahawa setiap kempen kesedaran dan penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tidak akan mendatangkan kesan sekiranya hanya satu pihak sahaja yang memberi respon.

Di pihak pengguna sendiri, mereka harus menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dan turut serta untuk membantu. Sebagai contoh, jika ada antara kalangan jiran tetangga anda yang tidak pasti bagaimana untuk membuat aduan, bantu mereka. Sebarkan mesej dan berikan maklumat-maklumat penting untuk memudahkan tindakan susulan diambil.

Selain itu, kikiskan persepsi bahawa melaporkan kes-kes sebegini kepada pihak berkuasa adalah satu perkara yang membuang masa dan tiada tindakan akan diambil. Itu adalah persepsi yang tidak tepat. Bagaimana pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sekiranya tiada aduan yang dilaporkan oleh pengguna?

Pengguna juga tidak harus membuat bermacam-macam andaian kononnya kes-kes penipuan lambat diselesaikan. Bukan semua kes yang dilaporkan adalah “straight-forward” dan mudah diselesaikan. Sebaliknya, ia memerlukan masa dan penyiasatan yang terperinci.

Pada masa yang sama juga, pengguna perlulah sentiasa beringat bahawa ada perkara yang sebenarnya terlalu baik untuk dipercayai (dalam bahasa Inggerisnya: if something is too good to be true, then it is probably not). Justeru, janganlah membiarkan hawa nafsu dan ketamakan mengaburi akal-fikiran kita sehingga tidak tahu membezakan antara baik dan yang buruk.

Walaupun sindiket-sindiket penipuan atau scam tidak mungkin dapat dihapuskan 100 peratus, apa yang penting usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan pengguna perlu diperhebatkan. Hanya dengan usaha memberi kesedaran yang berterusan dan konsisten, ia boleh membantu mengurangkan bilangan kes penipuan.

Untuk itu, sentiasalah berwaspada dan bersiap-siaga.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.