15 OKTOBER ― Dalam kehidupan seharian, kita tidak mungkin terlepas daripada melakukan kesilapan. Maklumlah kita bukanlah maksum dan sempurna sifatnya.

Ada kalanya kita terlepas cakap, terlepas pandang malah ada juga ketikanya kita mungkin marah atas perkara-perkara yang tidak disenangi. Apabila marah, segala kemungkinan boleh berlaku.

Dalam konteks ini, pertimbangan seseorang itu menjadi kurang teratur. Fikiran mereka didorong oleh amarah yang membara sehinggakan mereka hilang pertimbangan dan gagal untuk membuat penilaian yang rasional.

Perkara yang dirasakan kecil, boleh merebak menjadi krisis dan kesudahannya, ia mengundang bermacam-macam masalah susulan. Risiko di sebalik kegagalan mereka membuat pertimbangan rasional ialah berkemungkinan mereka membuat generalisasi/tanggapan yang tidak semestinya tepat.

Advertisement

Apabila situasi ini terjadi, ia membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu untuk memanipulasi ketidaktentuan itu bagi memenuhi kepentingan peribadi mereka.

Perkara sedemikian sesungguhnya haruslah dielakkan.

Apabila kita berbicara dan meneliti sesuatu perkara, janganlah sesekali membuat tanggapan melulu tanpa meneliti terlebih dahulu latar belakang dan maklumat perkara yang dimaksudkan. Amatlah dahsyat dan menyedihkan jika situasi berkenaan berlaku kerana ia berupaya mendatangkan kesan yang cukup negatif kepada kesejahteraan awam.

Advertisement

Jika inilah keadaannya, kelakuan mereka tidak banyak bezanya dengan individu yang menabur fitnah ataupun gosip. Jika inilah sikap yang ditunjukkan, apa harapan yang ada lagi buat negara?

Bukankah lebih elok jika kita sentiasa bersangka baik dan tidak menjatuh hukum terhadap orang lain? Tak rugi jika kita bersangka baik dan sentiasa membantu orang yang memerlukan. Nescaya pahala yang diterima juga akan  bertambah.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.