3 SEPTEMBER — Beberapa hari yang lalu, negara kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-61. Ribuan rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan menzahirkan kecintaan mereka kepada pemimpin dan negara tercinta.

Sambutan kali ini agak berbeza dan unik jika dibandingkan dengan sambutan tahun-tahun sebelumnya. Apa tidaknya, ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara di mana berlakunya pertukaran kerajaan di peringkat pusat yang menyaksikan parti pembangkang mendapat mandat untuk mentadbir negara.

Selain itu, sentimen dan perasaan rakyat terhadap kerajaan baharu ini secara umumnya dilihat positif di peringkat awal pentadbiran. Rata-rata mahu memberikan peluang dan ruang kepada kerajaan baharu untuk memperbaiki kerosakan yang telah ditinggalkan oleh pemerintahan terdahulu. Maklumlah juga skala kerosakan yang ditinggalkan adalah jauh lebih besar daripada apa yang disangkakan.

Pada masa yang sama, kembalinya Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua secara tidak langsung turut memberi sinar harapan bahawa rakyat mampu menikmati kehidupan yang lebih baik selepas ini, sama seperti apa yang pernah dinikmati dalam era 80-an dan 90-an dahulu.

Advertisement

Demikianlah suara-suara ‘kebebasan’ dan ‘kemerdekaan’ yang ditagihkan oleh rakyat marhaen. Namun begitu, apabila kita bercakap mengenai pengertian sebenarnya Merdeka, apakah kita benar-benar sudah Merdeka seperti yang dilaung-laungkan?

Dalam konteks yang kita lihat hari ini, Malaysia sudah maju dalam aspek pembangunan fizikal. Begitu juga dalam aspek politik yang mana parti-parti politik sendiri bebas ditubuhkan untuk mencorak hala tuju politik negara ini. 

Malangnya, apabila kita memerhatikan gelagat dan telatah rakyat jelata dalam pelbagai perkara, nampaknya kemerdekaan yang disuarakan itu hanya tinggal pada nama sahaja.

Advertisement

Baru-baru ini, ketika menikmati makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera di ibu negara, ada satu pemandangan yang menjijikkan. Kelihatan sisa-sisa makanan dan pembalut makanan ditinggalkan begitu sahaja bersama-sama dengan dulang oleh pengunjung di atas meja makan. Bukan satu atau dua meja sebaliknya pemandangan di hampir kesemua meja makan.

Lebih menyedihkan, perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan tanpa segan-silu biarpun perbuatan berkenaan diperhatikan oleh orang lain. Pada mereka, tugas untuk membersihkan meja makan adalah tugas kakitangan restoran tersebut dan bukannya mereka. Lagipun mereka dibayar untuk berbuat demikian.

Sikap buruk rakyat Malaysia juga ketara ketika mereka menggunakan kemudahan di tempat-tempat awam seperti tandas dan kawasan parkir. Bagi mereka yang pernah mengunjungi tandas di pusat beli-belah ataupun kawasan rehat plaza tol, pastinya anda akan terserempak dengan pemandangan menjijikkan seperti lantai tandas yang basah dan tisu bertaburan di sana sini.

Di kawasan parkir pula, ada juga kalangan rakyat yang suka meletak kenderaan di petak yang tidak sepatutnya.  Ada pula yang cenderung melakukan “double parking” khasnya di lokasi yang sukar mendapat parkir. Semuanya ini dibuat dengan harapan untuk menjimatkan masa tetapi tidak memikirkan kepentingan orang lain.

Kesemua amalan buruk yang dinyatakan tadi merupakan pemandangan biasa di negara kita. Ia terus berlaku kerana segelintir rakyat merasakan kepentingan dirinya mengatasi segala-galanya. Akan tetapi, mereka terlupa bahawa dalam kehidupan bermasyarakat, perlu adanya sikap tolak-ansur antara satu sama lain bagi membolehkan negara ini mara ke hadapan.

Jika rakyat masih berdegil dan mahu meneruskan amalan buruk sebegini, maka minda mereka sebenarnya belum merdeka malahan masih terperangkap dalam kerangka pemikiran yang jumud. Apa gunanya jika negara mempunyai prasarana bertaraf dunia sekiranya takuk minda rakyat di tahap lama.

Dengan demikian, segala usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju tidak akan kesampaian dan selagi itulah, masyarakat dari negara lain menaruh persepsi yang serong terhadap rakyat kita.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.