27 OGOS — Salah satu daripada tabiat buruk kita sebagai manusia ialah kita cenderung untuk menghakimi dan mendengar kata-kata daripada orang lain tanpa usul-periksa terlebih dahulu.

Keadaan ini berlaku sama ada dalam perbualan seharian, tindak-tanduk di tempat kerja mahupun desas-desus mengenai kehidupan peribadi seseorang.

Kita menghakimi orang lain kerana orang yang dihakimi itu mungkin tidak sependapat dengan kita. Mungkin juga, kerana individu yang dihakimi berkenaan dilihat angkuh, berbeza ideologi politik mahupun bersikap prejudis.

Kita menghakimi orang lain seolah-olah diri kita tidak ada cacat-celanya manakala orang lain pula akan disifatkan sebagai buruk dan penyebab kepada segala permasalahan yang berlaku.

Advertisement

Sesungguhnya, sikap sedemikian bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada mana-mana pihak bahkan juga hanya melebarkan lagi jurang syak-wasangka dan kebencian antara satu sama lain.

Soalnya, kenapa kita perlu menghakimi orang lain dengan cara yang sedemikian? Apakah kita berhak untuk menghakimi orang lain? Adakah ini cara terbaik untuk kita berinteraksi dengan orang lain? 

Menghakimi orang lain merupakan satu bentuk escapisme yang bersifat jangka pendek. Kebanyakan mereka yang berkelakuan sebegitu nampaknya tidak yakin kepada diri sendiri. 

Advertisement

Tindakan untuk menghakimi orang lain semata-mata untuk menyedapkan hati sendiri sebenarnya merupakan satu tindakan yang tidak produktif. Jelas, tindakan itu didorong oleh emosi, prejudis dan perasaan takut. Dengan membenarkan diri kita menghakimi orang lain, secara tidak langsung kita sebenarnya membenarkan sikap tidak rasional mengaburi pertimbangan kita.

Sebagai contohnya, isu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang hangat diperkatakan di media massa mutakhir ini. Perhatikan bagaimana kenyataan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu ECRL mendapat reaksi hangat pelbagai pihak.

Ada yang mengutuk keputusan kerajaan untuk membatalkan projek tersebut sebagai satu balas dendam terhadap negeri-negeri yang bukan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tidak kurang juga yang menyifatkan pembatalan projek itu sebagai tindakan kerajaan baharu untuk meraih populariti. 

Dalam hal ini, kerajaan sebenarnya telah mengumumkan bahawa mereka masih mengkaji sama ada untuk menangguhkan semua dan mencari jalan lain yang tidak akan membebankan kewangan negara. Justeru, tidak timbul bahawa keputusan itu bersifat populis  kerana keputusan yang dibuat berpandukan kepada keupayaan kewangan negara.

Sikap suka menghakimi sesuatu/orang lain juga amat ketara ketika kita membaca sesebuah artikel yang diterbitkan. Kelazimannya, ramai yang lebih cenderung membaca tajuk artikel tanpa menyelidiki intipati/kandungan berita yang ditulis. Selepas selesai membaca tajuk artikel, mereka dengan lantas membuat kesimpulan tanpa mengetahui perkara sebenarnya yang berlaku. Apabila mengetahui perkara yang sebenarnya selepas itu, barangkali segalanya sudah terlambat dan meminjam kata-kata dalam Bahasa Inggeris “the damage is done.”

Oleh yang demikian, kepada yang berkenaan, janganlah cepat membuat kesimpulan. Sebaliknya, analisis terlebih dahulu isu yang dibangkitkan dan tidak mudah termakan dengan dakyah atau propaganda oleh pihak tertentu. Janganlah disebabkan oleh cakap-cakap atau desas-desus yang disebarkan, kita mempercayai bulat-bulat apa yang diperkatakan.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara kita, kepada hubungan kita dengan ahli keluarga, sahabat-handai mahupun rakan-rakan di tempat kerja sekiranya kita mudah mempercayai dan menghakimi orang lain. Kesudahannya mungkin jauh lebih buruk daripada apa yang kita sangkakan.

Apakah itu yang kita mahukan? Hanya anda sahaja yang mempunyai jawapannya.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.