6 OGOS — Sebagai seorang bekas guru sekolah tidak beberapa lama dahulu, berita mengenai masalah kemurungan dan stres di tempat kerja dalam kalangan guru seperti yang dilaporkan di media massa baru-baru ini, amatlah mendukacitakan.  

Apa yang dilaporkan mengenai masalah kemurungan dan stres guru bukan sahaja benar bahkan juga membuktikan bahawa untuk menjadi seorang guru kini, ia adalah amat mencabar.

Apa tidaknya, banyak faktor dan cabaran yang mempengaruhi prestij profesion perguruan masa kini. Antaranya, bebanan kerja yang kian bertambah seperti kerja-kerja perkeranian (kini guru tidak diperlukan untuk berbuat demikian), persepsi dan tanggapan awam yang bukan-bukan terhadap warga pendidik, kerenah para pelajar dan tidak ketinggalan juga, tahap motivasi dalam kalangan guru-guru itu sendiri.

Inilah realiti yang sebenar-benarnya buat warga pendidik kita. Barangkali senario ini juga boleh memberi gambaran yang lebih jelas kepada orang awam di luar sana bahawa warga pendidik juga adalah manusia biasa dan segala kepincangan/kelemahan dalam sistem pendidikan tidak harus diletakkan pada bahu mereka semata-mata.

Advertisement

Masalah-masalah tersebut turut mengingatkan penulis mengenai satu lagi isu yang berkait rapat dengan warga pendidik kita. Satu ketika dahulu, guru sekolah dianggap sebagai seorang individu yang cukup dihormati, bijak-pandai dan berperwatakan mulia. Dalam erti kata lain, tahap penghormatan kepada mereka amatlah tinggi.

Sesungguhnya, tidak ada orang yang akan mempertikaikan apa yang diperkatakan oleh guru-guru apatah lagi keputusan yang dibuat mereka. Rata-rata, semuanya menaruh sepenuh kepercayaan kepada guru-guru sekolah untuk merencanakan agenda untuk melahirkan insan berkaliber yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara tercinta.

Begitu tinggi dan mulianya kedudukan insan bernama guru di mata masyarakat kerana mentaliti masyarakat yang berbeza pada tempoh tersebut. Mereka bukan sahaja percaya dan yakin tetapi juga berpegang teguh kepada konsep bahawa guru sekolah adalah individu yang berautoriti.

Advertisement

Ketika di bangku sekolah dahulu, perasaan hormat dan taat kepada guru-guru sekolah datang dengan sendirinya. Tanpa perlu bercakap apa-apa ataupun mereka menggunakan rotan ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, pandangan ‘maut’ mereka sudah memadai dan mencetuskan kegerunan dalam diri pelajar.

Menariknya, perasaan gerun itu timbul bukan disebabkan oleh elemen hukuman yang menyusul tetapi pengajaran yang akan ditimba daripada perkara yang berlaku. Malahan, ada ibu bapa yang turut memberikan kuasa dan kebebasan kepada guru-guru untuk mendisiplinkan anak-anak mereka jika didapati melakukan kesalahan.

Malangnya, keadaan sebalik pula yang berlaku pada zaman sekarang. Sekiranya seseorang guru itu merotan pelajar, ada kemungkinan guru berkenaan akan didatangi dengan surat aduan daripada pihak penjaga ataupun lebih buruk lagi, didakwa di mahkamah. Jika kurang bernasib baik, mereka juga terpaksa berhadapan dengan konfrontasi daripada segelintir ibu bapa yang mahukan penjelasan mengapa anak-anak mereka dihukum.

Bagi penulis, sikap konfrontasi dan buruk sangka terhadap warga pendidik perlu dikikis daripada budaya masyarakat kita. Sudahlah dibebani dengan kerja-kerja hakiki yang semakin berat, datang pula masalah-masalah seperti yang dinyatakan tadi boleh melemahkan semangat warga pendidik kita.

Daripada terus mencari kesalahan dan memberi masalah kepada warga pendidik, guru-guru sekolah seharusnya diberikan kebebasan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak bangsa dengan sebaik mungkin. 

Tidak cukup dengan itu, warga pendidik juga harus diberikan sokongan padu oleh semua pihak baik daripada KPM, ibu bapa mahupun para pelajar agar proses P&P dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Apa yang penting pada akhirnya di sebalik kesemua tindakan yang diambil itu ia bertujuan untuk membina sebuah negara Malaysia yang makmur dan sejahtera. Niat untuk membina sebuah negara yang sejahtera tidak mungkin dapat direalisasikan jika tidak disusuli dengan usaha yang berterusan oleh rakyat jelata. 

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.