16 JULAI — Beberapa minggu lalu apabila seorang bekas pemimpin tertinggi negara dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah, semakan dalam platform media sosial menunjukkan, ramai netizen yang lega dan gembira dengan perkembangan tersebut.

Ada yang meraikan berita itu seolah-olah mereka sudah menang sesuatu hadiah dan tidak kurang juga, yang merasakan ia sesuatu yang patut diterima oleh pemimpin yang dimaksudkan.

Dan tidak beberapa lama dahulu pula, apabila ada pemimpin dari parti lawan dihadapkan ke mahkamah, keadaan yang sama berlaku. Bermacam-macam komen, maki-hamun dan fitnah dilemparkan dengan tujuan untuk membunuh karakter pemimpin-pemimpin yang berkenaan.

Apa yang berlaku itu sebenarnya amat mendukacitakan. Sikap sedemikian bukan sahaja tidak memperlihatkan kematangan dalam kalangan diri pihak yang meluahkan perasaan itu bahkan juga memberi gambaran bahawa tahap kebencian tersebut sudah menjadi sesuatu yang terlalu peribadi.

Advertisement

Mereka tidak seharusnya bertindak keterlaluan dalam tingkah laku mereka. Dalam apa jua keadaan sekalipun baik dalam tutur kata, niat bahkan juga tindak-tanduknya, sentiasa beringatlah bahawa Tuhan sentiasa memerhati kelakuan kita.

Sekalipun mereka begitu benci dan marah terhadap seseorang pemimpin, janganlah membiarkan perasaan benci itu merebak menjadi kebencian yang melampau. 

Apa yang mereka dapat dengan mempamerkan kebencian dalam cara yang tidak sesuai itu? Jika benci sekalipun, gunakan saluran yang betul untuk meluahkannya dan tidak perlulah sampai ke tahap untuk memuat naik di dalam media sosial dan memberitahu seluruh dunia. 

Advertisement

Jangan sesekali membiarkan perasaan benci menguasai diri kita. Apabila keadaan itu berlaku, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Kita dapat lihat kesannya apabila seseorang itu mempunyai kebencian melampau. Hilang kawan, hilang keluarga dan berkemungkinan segala-galanya. 

Jika individu atau pemimpin yang dibencinya itu ada melakukan kesalahan, maka letakkan kepercayaan kepada sistem perundangan negara untuk mengadilinya. Tidak perlu untuk kita menjadi hakim. Siapalah kita untuk menghakimi orang lain melainkan Pencipta kita? Seandainya mereka masih degil, maka tidak banyak bezanya mereka dengan orang yang dibencinya itu. 

Peringatan ini terpakai kepada kita semua. Dalam hidup, usah menghakimi dan membenci seseorang itu biarpun mereka ada melakukan sesuatu yang tidak baik kepada kita. Sebaliknya, kita doakan untuk mereka ini.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.