28 MEI ― “Ask not what the country can do for you, ask what you can do for the country”.

Demikian kata-kata popular yang pernah diungkapkan oleh Presiden Amerika Syarikat yang ke-35, John F. Kennedy ketika berucap pada ucapan sulung beliau selepas mengangkat sumpah sebagai presiden baharu negara berkenaan pada 20 Januari 1961.

Kata-kata oleh JFK itu amat sinonim dengan elemen patriotisme. Tatkala AS ketika itu sedang berhadapan dengan campur tangan Soviet Union dalam perang dinginnya, kata-kata itu secara tidak langsung menaikkan semangat dan moral rakyat Amerika.

Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia? Adakah anda cintakan negara ini? Adakah kita bersedia dan sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini?

Advertisement

Ataupun kita tergolong dalam kategori manusia yang hanya pandai mengeluh, mengkritik tetapi langsung tidak mahu menyumbang sesuatu kembali tatkala negara dilanda kesusahan?

Mungkinkah juga kita merupakan seorang rakyat yang merasakan seolah-olah negara ini berhutang sesuatu dengannya hingga mengakibatkan mereka tidak ambil peduli akan keadaan negara?

Walau apa sahaja persepsi dan kekurangan yang ada pada negara, kita sebagai rakyat Malaysia yang dilahir, dibesar dan mati di sini perlulah berfikiran jauh dan tidak hanya memikirkan kepentingan diri semata-mata dalam apa jua situasi.

Advertisement

Sebaliknya, mereka wajar memikirkan sesuatu perkara dari perspektif yang lebih besar yakni kepentingan negara. Pada masa yang sama, janganlah pula kita memaki-hamun dan mengkritik sesuka hati terhadap negara seolah-olah memberi gambaran bahawa negara ini tidak ada bakti kepada dirinya.

Pada ketika negara kita masih dalam proses transisi khasnya dalam aspek pentadbiran, marilah kita sama-sama mainkan peranan yang proaktif untuk membantu kerajaan baharu untuk mentadbir negara tercinta dengan lancar.

Biarpun peranan yang boleh dimainkan tidak mencakupi aspek pentadbiran, namun rakyat boleh memainkan peranan dengan memberi teguran dan pandangan membina sekiranya tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah bertentangan dengan aspirasi rakyat. Dengan adanya teguran dan pandangan yang dikemukakan, sekurang-kurangnya ia akan menjadi semak dan imbang kepada tindak-tanduk pihak kerajaan.

Kepada pihak yang kalah pada PRU ke-14 yang lalu, cukuplah dengan politiking yang tidak berkesudahan. Hindarilah juga budaya fitnah dan merendah-rendahkan usaha pemerintah baharu untuk membangunkan semula Malaysia.

Daripada terus melakukan sesuatu yang destruktif, mengapa tidak tampil untuk turut membantu dalam usaha memacu negara ini kembali ke landasan yang lebih cemerlang?

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.