21 MEI — Sepanjang tempoh satu minggu yang lalu sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14, arena politik negara cukup mendebarkan dan diwarnai dengan pelbagai plot dan subplot yang menarik. Ada elemen suspen dan tak kurang juga, elemen klimaks yang boleh menjanjikan kesudahan yang berbeza.

Dari kaca mata media pula, media tempatan mahupun media antarabangsa memberikan liputan yang cukup menyeluruh mengenai PRU-14, lebih-lebih lagi selepas PRU kali ini menyaksikan kemenangan sulung Pakatan Harapan sekaligus membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Bermula dengan cerita mengenai siapakah yang bakal dilantik sebagai PM yang baharu sekiranya PH menang kepada teka-teki siapa yang bakal menyertai barisan Kabinet sehinggalah kepada kemungkinan manifesto-manifesto pilihan raya akan ditunaikan atau sebaliknya, semuanya ini membuatkan orang ramai tidak senang duduk.

Hakikatnya, PRU-14 sudah pun berlalu. Barisan Kabinet teras telah diumumkan oleh Tun Dr Mahathir manakala usaha-usaha untuk memperbetulkan kembali  masalah-masalah berbangkit kini giat dijalankan.

Advertisement

Amat penting pada detik ini, segala tumpuan diberikan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan negara tercinta, Malaysia ke era yang lebih gemilang.

Kepada pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan mempertikaikan usaha-usaha yang dijalankan, mereka ini seharusnya membuka mata dan berlapang dada serta memberikan keutamaan kepada kesejahteraan negara.

Tidak sepatutnya wujud politiking yang keterlaluan, sikap syak-wasangka terhadap niat pihak lain dan cubaan untuk membantah semata-mata untuk membantah sahaja. 

Advertisement

Dalam kalangan pemimpin politik pula tak kiralah dari pemerintah mahupun pembangkang, laksanakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada anda. Jangan sesekali mengambil mudah mandat yang diberikan dan gunakan kesempatan yang ada ini untuk membawa perubahan yang bermakna buat Malaysia.

Inilah masanya untuk semua pihak untuk memberikan fokus yang sepenuhnya kepada agenda membangunkan semula Malaysia. Ketepikan segala sengketa, sangka buruk waima kepentingan peribadi kerana kepentingan negara seharusnya mengatasi kepentingan-kepentingan yang lain.

Sekiranya mandat yang diberikan tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, maka adalah menjadi kewajipan kita sebagai rakyat untuk memberikan teguran membina kepada kepimpinan kerajaan bagi memperbaiki kelemahan dan lompong yang wujud. 

Di pihak pemerintah pula, mereka harus menerima teguran-teguran tersebut dengan hati yang lapang dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.