19 MAC — Apabila kita membeli sesuatu penerbitan seperti makalah, suratkhabar ataupun buku, bahagian manakah dalam penerbitan tersebut yang menjadi tumpuan utama anda?

Adakah anda akan membaca tajuk artikel itu terlebih dahulu? Ataupun jalan cerita yang dipersembahkan? Adakah juga disebabkan oleh identiti penulis itu sendiri?

Walau apa sahaja pilihan mereka, yang pasti setiap pilihan yang dibuat itu mencerminkan pemikiran dan sikap individu masing-masing. Di sebalik pilihan itu juga, terkandung kisah hidup atau cerita yang tersendiri.

Berbicara mengenai persoalan yang dilontarkan tadi, barangkali kita juga boleh mengambil iktibar dan bertanya kepada diri sendiri dalam kehidupan seharian kita, apa opsyen yang dipilih?

Advertisement

Umpamanya, jika seseorang itu memilih hanya untuk membaca tajuk artikel tanpa melihat dan menilai kepada intipati yang ditulis terlebih dahulu, maka kesudahan yang mungkin berlaku adalah amat dahsyat. Dalam hal ini, ia boleh mengakibatkan perbalahan, salah faham, buruk sangka dan akhirnya mendorong kepada permusuhan yang tidak berkesudahan.

Hakikatnya, apa yang disebutkan tadi sebenarnya sedang berlaku di negara kita. Dalam kalangan rakyat marhaen, ada yang begitu pantas menyebarkan sesuatu berita tanpa memeriksa dahulu kesahihan dan asal-usul dahulu. Disebabkan masing-masing ingin menjadi jaguh, aspek kebenaran dikesampingkan manakala rakyat tidak berdosa menjadi mangsa.

Perkara sedemikian amatlah dikesali kerana pihak berkuasa sudah pun menjalankan pelbagai jenis program kesedaran untuk mengingatkan orang ramai agar berwaspada apabila menerima sesuatu berita atau maklumat. 

Advertisement

Dalam apa jua keadaan sekalipun, penyampaian maklumat dan komunikasi perlulah tepat dan jitu. Tidak seharusnya wujud keraguan mahupun lompong ketika penyampaian maklumat itu disampaikan kepada pihak yang lain. 

Di pihak yang menerima pula, janganlah bersikap acuh tak acuh dan terus menerima informasi atau berita yang diberikan membuta-tuli. Sebagai pengguna yang celik, mereka haruslah menganalisis, memeriksa dan  menyoal kembali informasi-informasi yang diterima terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Hanya selepas kesemua keraguan itu telah diperjelaskan dengan sebaiknya, barulah disebarkan mesej yang dimaksudkan kepada rakan-rakan jika perlu.

Pokok-pangkalnya, jangan malas untuk memeriksa dan menilai informasi-informasi yang diterima. Disebabkan kealpaan dan keengganan untuk memeriksa, bahana besar mungkin boleh menimpa negara. Dan disebabkan ketekunan untuk memeriksa informasi-informasi dahulu, tindakan terbabit mungkin boleh menyelamatkan sesuatu keadaan daripada terus meruncing.

Oleh yang demikian, janganlah cepat untuk menyalahkan mana-mana pihak apabila sesuatu berita viral di media sosial. Salah siapa? Salah diri kita sendiri juga kerana membiarkan sifat ingin tahu mengatasi keperluan untuk menyampaikan hal yang sebenarnya.

Apabila ingin berbuat sesuatu, fikirlah semasak-masaknya impak dan kesannya kepada semula pihak. Jangan sesekali berfikiran sempit dan hanya mementingkan diri sendiri. Dengan ledakan ICT yang makin canggih, dunia sebenarnya semakin mengecil dan apa yang berlaku di tempat lain, akan diketahui di negara kita dalam sekelip mata sahaja.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.