13 OKT — Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948 adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah satu pertimbangan guaman yang bercanggah dengan hujah Azmi Sharom, seorang pensyarah undang-undang, yang mengatakan akta itu tiada keperlembagaannya (unconstitutional). 

Tertewasnya Profesor Madya Azmi dalam kesnya di Mahkamah Persekutuan itu bukan sahaja satu kegagalan peribadi, tapi lebih pentingnya ialah implikasi keputusan itu terhadap kebebasan sivil dan hak asasi manusia dalam masyarakat kita. 

Keputusan mahkamah ini juga bermakna bahawa Azmi perlu dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Hasutan. Ini berikutan daripada apa yang berlaku pada tahun lalu di mana beliau dilaporkan telah menyatakan pandangannya yang mengaitkan krisis politik di Perak dengan masalah politik di Selangor dari perspektif kepakaran bidang akademiknya, iaitu undang-undang. 

Umumnya, pandangan profesional lazimnya mendapat tempat dan dihargai dalam masyarakat luar kampus. Dari masa ke masa, ahli akademik diminta pandangannya mengenai sesuatu yang bersesuaian dengan bidang kepakarannya seperti undang-undang, sejarah, sains politik, sosiologi, komunikasi, bahasa, ekonomi, sains dan pendidikan, antara lain. 

Advertisement

Tapi, seperti dikatakan oleh Azmi dalam ceramahnya “It’s the Constitution, Stupid”, di Pulau Pinang baru-baru ini, selalunya ahli akademik tidak mempunyai masalah dalam menyuarakan pandangan dalam kampus. Masalah hanya timbul apabila pandangan yang dipegang oleh ahli akademik merentasi pagar kampus yang akhirnya sampai ke kawasan publik untuk tatapan ramai. 

Seperti yang dibayangkan di atas, keputusan Mahkamah Persekutuan ini mempunyai kesan yang serius kerana ini juga melibatkan kebebasan akademik yang sudah sepatutnya menjadi kebimbangan besar kepada komuniti akademik di negara ini. Ini lebih-lebih lagi apabila kita sedari bahawa undang-undang hasutan ini mempunyai definisi “menghasut” yang begitu luas hingga boleh mencakup banyak perkara dan julat golongan manusia, termasuk ahli akademik. 

Jika dibandingkan reaksi anak murid Azmi yang penuh bersemangat memberi sokongan padu kepada apa yang diperjuangkan oleh pensyarah mereka, respons dari komuniti akademik tempatan secara keseluruhannya adalah dingin dan menyedihkan kerana kebebasan akademik seharusnya dianggap sebagai sesuatu yang sakral bagi umat akademik. 

Advertisement

Pada saat artikel ini ditulis, terdapat hanya beberapa orang perseorangan, badan akademik, iaitu Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) serta pertubuhan bukan pemerintah (NGO) seperti Aliran dan Suaram yang telah menyuarakan sokongan serta simpati kepada Azmi memandangkan integriti dan kepakaran seseorang akademik itu boleh dicabar oleh pihak tertentu. 

Majlis Profesor Negara ada menyuarakan simpatinya terhadap Azmi, tetapi sempat juga menyatakan bahawa “setiap perkara ada hadnya dan semua orang adalah sama di sisi undang-undang”. Ini membayangkan pendirian badan ini yang merasakan Azmi telahpun melintasi batasan yang dilakar oleh pihak pemerintah. 

Setakat ini, Azmi memberitahu, tiada persatuan akademik dari universiti lain dalam negara ini yang memberi sokongan atau simpati kepadanya. 

Kebebasan akademik, secara ringkasnya, ialah kebebasan untuk menjalankan penyelidikan, mengajar, bersuara dan menerbit dengan bertanggungjawab. Ini bermakna, misalnya, ahli akademik mempunyai kebebasan untuk mengkaji masalah tertentu, mengguna kaedah tertentu dan menerbitkan dapatan tanpa campur tangan daripada pihak pemerintah mahupun kuasa ekonomi. 

Selain dari itu, ahli akademik mempunyai kebebasan untuk berdialog dalam komuniti akademik tentang dapatan penyelidikan dan perkara-perkara lain, dan juga dalam hal tertentu berkongsi dapatan dengan khalayak umum. 

Sebilangan orang dalam masyarakat memang sedar bahawa kebebasan akademik di Malaysia rata-rata tidak sempurna akibat pencelahan pemerintah sejak lama dahulu. Namun begitu, sisa kebebasan yang ada perlu dijaga dan dilindungi bagi keperluan warga akademik. Malah, ahli akademik perlu mengorak langkah bagi memperkukuhkan lagi kebebasan akademik mereka dari masa ke masa. 

Berdasarkan iklim politik pada masa ini di Malaysia, kita tidaklah mengharapkan respons komuniti akademik tempatan seperti apa yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini. Lebih daripada 1,000 mahasiswa dan ahli akademik yang telah berarak menuju ke University of Hong Kong secara senyap sebagai membantah apa yang mereka lihat sebagai satu pencabulan ke atas kebebasan akademik yang direstui oleh Beijing. 

Protes di Hong Kong ini membantah tindakan lembaga universiti tersebut untuk menghalang seorang profesor undang-undang yang berfahaman liberal, Johannes Chan, dari menjawat jawatan pro-naib canselor. Tindakan demonstran ini membayangkan betapa pentingnya ahli akademik dan mahasiswa melindungi kebebasan akademik dari diratah oleh pemerintah yang dianggap rakus. 

Kita boleh meramal faktor-faktor yang menyebabkan kedinginan respons dari komuniti akademik tempatan pada keseluruhannya terhadap kes Azmi itu. 

Pertama, penangkapan beberapa orang aktivis, politikus pembangkang, mahasiswa dan wartawan, antara lain, di bawah Akta Hasutan (dan undang-undang lain) dalam masa setahun dua ini telah mencetuskan suatu suasana ketakutan dalam kalangan akademik khususnya hingga ada di antara mereka yang mengamalkan penapisan mandiri (self-censorship) dalam kerjayanya dan juga dalam kehidupan sehariannya. 

Penapisan mandiri ini merbahaya kerana ia boleh menjejaskan kebebasan akademik seperti dalam aspek penyelidikan dari sisi jenis kajian, pendekatan dan dapatan; analisis dapatan dan persoalan masyarakat menjadi kurang sofistikated; dan juga pengendalian kursus yang menjadi kurang kritis. 

Kedua, oleh kerana sudah lama kebebasan akademik bersifat tempang, ada dalam kalangan ahli akademik yang tidak sedar akan adanya idea kebebasan akademik. Malah ada di antara mereka yang beranggapan bahawa kebebasan akademik tidak begitu penting. 

Ada juga ahli akademik yang lebih berkecenderungan untuk “ikut perintah” sahaja setelah lama mengikuti sistem pendidikan tempatan yang rata-rata mengutamakan penerimaan ajaran guru tanpa menggalakkan fikiran kritis. 

Dengan kata lain, tempangnya kebebasan akademik dalam kebanyakan universiti sudah “dinormalkan” oleh pemerintah dan juga pentadbir universiti sebagai satu mekanisme mengawal. 

Ketiga, kelompok akademik yang tahu akan kepentingan kebebasan akademik tapi berdiam diri kerana faktor menjaga karier dan juga kerusi yang disandang. 

Keempat, segolongan akademik yang tidak mengambil kisah kerana mereka menganggapkan isu seperti kes Azmi mempunyai elemen politik – walaupun ada kaitannya dengan kebebasan akademik. Jadi logik (songsang) yang dianuti mereka ialah seseorang yang ada kecenderungan ini harus melepaskan jawatan akademiknya dan lantas menjadi politikus sepenuh masa dalam arena politik formal. 

Golongan akademik ini mungkin tidak sedar bahawa hampir setiap tindakan yang kita ambil atau tidak ambil berbau politik; sengaja tidak mengambil kisah tentang hal yang penting juga merupakan perbuatan politik. 

Walaupun keadaan komuniti akademik tempatan sedemikian rupa, sudah tiba masanya untuk ahli akademik sedar atau disedarkan bahawa berpeluk tubuh dalam isu ini adalah sama dengan mengundang dan merestui bencana. Bak kata aktivis hak sivil Martin Luther King Jr, “The ultimate tragedy is not the oppression and cruelty by the bad people but the silence over that by the good people.” Ringkasnya, tragedi menimpa rakyat apabila orang yang baik berdiam diri ketika berhadapan dengan penindasan dan kezaliman. 

Sekurang-kurangnya sebilangan ahli akademik cuba menguji sejauh mana batasan larangan dapat direntas. Misalnya, ahli akademik boleh cuba mengadakan satu perjumpaan dalam kampus untuk menunjukkan solidariti bersama Azmi. Mereka juga boleh mencuba membuat petisyen demi menyokong Azmi melalui, misalnya, persatuan akademik masing-masing.  

Jika inisiatif di atas sukar dilakukan disebabkan kekangan tertentu, ahli akademik boleh fikirkan kemungkinan menganjur forum dalaman, dan perbincangan dengan rakan sejawat dan juga mahasiswa untuk merungkai  persoalan Akta Hasutan yang membabitkan Azmi dan kebebasan akademik. 

Lagipun, tidakkah perbincangan, berdialog dan perdebatan sepatutnya menjadi sebahagian daripada tuntutan akademik dan kebebasan akademik? 

Sesungguhnya berbuat sesuatu untuk menjaga dan membina kebebasan akademik – dan seterusnya menuntut autonomi universiti – adalah satu cabaran kepada komuniti akademik yang bertapak di negara yang didakwa mengamal sistem demokrasi. 

* Dr Mustafa K Anuar ialah Felo di Penang Institute.

** This is the personal opinion of the columnist.