JUN 30 — Wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sanggup bertemu golongan politikus untuk merayu bantuan RM5 (Ringgit Lima Sahaja) seorang demi memberi makan kepada kanak-kanak dan remaja dari beberapa keluarga miskin.

Sejak beberapa bulan lalu, kami mengundang anak-anak sedemikian ke Rumah Kavyan di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk mengikuti acara berbentuk bahasa, sastera, seni dan budaya. Mereka juga berpeluang membaca buku-buku yang disediakan di sini.

Rumah Kavyan menjadi pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.
Rumah Kavyan menjadi pusat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.

Selain daripada santapan minda, kanak-kanak dan remaja berkenaan turut diberikan makan-minum ala kadar, hasil sumbangan beberapa rakan yang prihatin dan mengambil berat.

Baru-baru ini, saya bertemu Datuk RS Maniam, bekas ketua bahagian MIC Kota Raja untuk merayu bantuan mewakili sebuah keluarga gelandangan (homeless) di kawasan perumahan saya. Walaupun tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti dan tiada “kuasa politik”, Maniam ternyata tetap prihatin terhadap nasib masyarakat.

Advertisement

Wakil Kavyan juga membawa seorang pelajar Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) bertemu Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Sivarraajh Chandran untuk memohon sumbangan komputer bagi tujuan pelajaran. Permohonan itu diluluskan serta-merta tanpa sebarang masalah birokrasi.

Beberapa lagi individu berhati mulia yang saya kenali menerusi laman rangkaian sosial Facebook juga tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos beberapa kes yang ditangani oleh Kavyan. Rata-rata meminta identiti mereka tidak dipaparkan kepada umum.

Buku dihadiahkan sebagai santapan minda peserta aktiviti.
Buku dihadiahkan sebagai santapan minda peserta aktiviti.

Saya percaya bahawa berdasarkan rekod bersih serta integriti yang ditunjukkan oleh Kavyan sejak diasaskan pada tahun 1999, orang ramai tidak keberatan untuk membantu kami dalam usaha-usaha kebajikan seperti ini; walaupun ia agak terkeluar daripada objektif asal Kavyan iaitu “aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya”.

Advertisement

Ramai juga yang terkejut apabila mendapat tahu saya bertemu politikus untuk merayu bantuan. Rata-rata tahu saya sentiasa menyelar politikus dan politik perkauman secara terbuka dan terang-terangan. Apakah saya kini sudah berlembut?

Sanggup bertemu Ridhuan Tee, Isma dan Perkasa

Saya sebenarnya hanya bertemu beberapa politikus yang turut saya kenali di luar batas politik serta saya tahu hati budi mereka. Tambahan pula, beberapa “orang kuat” dalam Pemuda MIC sekarang adalah bekas pelajar saya.

Kempen ini disasarkan khusus kepada para ahli politik.
Kempen ini disasarkan khusus kepada para ahli politik.

Mereka mengenali serta mengetahui etika, prinsip dan integriti yang menjadi pegangan saya.

Malah, sebenarnya, wakil Kavyan sanggup bertemu mana-mana politikus sekiranya masih wujud ahli politik yang sudi mengetepikan kepentingan politik demi menghulurkan bantuan ikhlas tanpa sebarang kekangan birokrasi.

Kami juga sanggup bertemu mana-mana individu dan pertubuhan ultra kiasu, rasis, fanatik dan etnosentrik kerana kami percaya masih ada walau setitik kemanusiaan dalam jiwa mereka.

Ridhuan Tee Abdullah, misalnya, sudah membuktikan dirinya sebagai individu yang membenci semua orang Bukan Melayu dan semua orang Bukan Islam.

Atas sebab itulah juga saya membenci tulisannya; khususnya di akhbar Sinar Harian. (Malah saya masih tertanya-tanya mengapa Kumpulan Media Karangkraf masih “bodoh” untuk menyiarkan tulisan Ridhuan Tee; tetapi itu topik lain.)

Kalau Ridhuan Tee sudi bertemu, saya sanggup pergi merayu bantuan RM5 daripadanya. Wang itu cukup untuk membantu Kavyan menyumbangkan makan-minum bagi seorang kanak-kanak atau remaja miskin yang kelaparan.

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) pernah “menyeru” saya masuk Islam pada Julai 2013 dan saya pula menyelar sikap anti-dakwah yang mereka tunjukkan semasa membuat seruan itu. Akan tetapi, saya sanggup bertemu ketua Isma untuk merayu bantuan RM5.

Saya juga sanggup pergi mewakili Kavyan untuk bertemu orang kuat dalam Perkasa sekiranya mereka sudi menerima kunjungan saya. Saya yakin bahawa walau sekeras mana sekalipun hati mereka serta kebencian mereka terhadap orang Bukan Melayu dan Bukan Islam, Allah pasti akan membukakan hati mereka untuk menghulurkan sumbangan RM5 yang dirayu.

Bagaimana dengan politikus yang membenci Kavyan?

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mungkin “kecewa” berikutan ketegasan saya dan Kavyan yang tidak mahu berganjak atau tunduk pada tuntutan politik (baca: kepentingan politik) dalam isu novel Interlok: Edisi Murid yang hangat sepanjang tahun 2011.

Kebanyakan keluarga miskin yang datang meminta bantuan Kavyan adalah kaum India. MIC pula sentiasa mendabik dada sebagai satu-satunya parti politik yang mewakili kaum India serta mampu menjaga kepentingan kaum India (baca: orang Tamil).

Maka, jika Palanivel bersedia dan berkelapangan, saya akan pergi bertemu belia untuk merayu bantuan tunai RM5 yang akan membolehkan Kavyan membelikan makanan bagi seorang anak miskin di Taman Sri Muda.

Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti marah (malah berdendam?) dengan Kavyan kerana kami telah “mengecewakan” serta “melawan” beliau dalam isu pindaan novel Interlok: Edisi Murid. Kecewa kerana saya tidak menjadi “lalang” seperti Dr Lim Swee Tin dan Raja Rajeswari Seetha Raman dalam isu novel kontroversi itu.

Saya turut mengeluarkan kenyataan media menyelar Muhyiddin berikutan ucapannya yang membahagikan golongan sasterawan di Malaysia kepada dua kategori sahaja (bersama Barisan Nasional atau bersama pembangkang) pada Januari 2014.

Kalaulah bakal/calon perdana menteri ketujuh itu sanggup meluangkan sedikit masa, saya boleh pergi bertemu beliau untuk merayu bantuan RM5. Kalau beliau sudi menghulurkan sekeping wang kertas RM10, maka Kavyan mampu membeli makanan untuk dua kanak-kanak dan remaja yang kelaparan.

Seorang pelajar menerima sumbangan komputer daripada ketua pemuda MIC.
Seorang pelajar menerima sumbangan komputer daripada ketua pemuda MIC.

Untuk makluman, apabila saya menulis bahawa saya akan pergi bertemu mereka semua, bukanlah kerana mahu menunjuk-nunjuk kononnya saya “orang kuat” dalam Kavyan. Sebaliknya, sebagai seorang penulis sepenuh masa, saya memiliki jadual yang anjal (fleksibel) berbanding ahli jawatankuasa lain yang bekerja di pejabat sepanjang hari.

Peringatan kepada Adun dan Ahli Parlimen

Memandangkan kebanyakan keluarga miskin terbabit tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda dan Parlimen Kota Raja, maka saya juga bercadang bertemu Adun dan Ahli Parlimen terbabit jika mereka ada “kelapangan” dan “sudi” untuk bertemu.

Walaupun politikus dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mungkin tidak “sekaya” politikus Barisan Nasional (BN), saya percaya mereka masih boleh menghulurkan sumbangan ikhlas RM5 seorang.

Untuk rekod, saya telah mengundi Dr Siti Mariah Mahmud dan Shuhaimi Shafiei dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13 kerana saya menolak politik perkauman dalam BN serta saya mahukan “perubahan positif”.

Maka saya berhak “menuntut” hak bagi sekumpulan penduduk yang memerlukan bantuan. Apa gunanya saya mengundi semula calon Pakatan Rakyat (PR) pada PRU-14 jika perangai mereka sama sahaja seperti wakil BN yang berkuasa di Selangor sebelum PRU-12?

Saya juga mengimpikan peluang keemasan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (yang sering saya gelar “Adiwira Najib”) dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor (“wanita anggun pujaan saya”).

Pertemuan itu nanti bukanlah untuk merakam foto usie (nota: selfie melibatkan seorang sahaja; usie melibatkan lebih daripada seorang) atau bertanya khabar pasangan panda di Zoo Negara.

Sebaliknya untuk merayu bantuan RM5 seorang. Bukan untuk masuk saku saya atau tabung Kavyan, tetapi untuk membeli makan-minum bagi dua orang kanak-kanak dan remaja miskin di kawasan perumahan saya.

Rumah Kavyan juga memerlukan sumbangan untuk membeli rak buku, meja dan kerusi bagi menampung kedatangan kanak-kanak dan remaja yang menyertai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di sini.

Jika ada mana-mana politikus atau orang kuat mana-mana pertubuhan yang sudi dikunjungi untuk membolehkan saya merayu bantuan RM5 seorang, sudilah hubungi [email protected] untuk mengatur pertemuan. Blog www.kavyan.blogspot.com pula memuatkan maklumat lanjut tentang kami.

Saya mendoakan supaya para politikus (BN dan PR) dimurahkan rezeki dan dibukakan hati menyumbang kepada “kempen RM5 seorang politikus”. Saya yakin doa ini tidak berhijab dan akan dimakbulkan Tuhan Yang Maha Esa sempena Ramadan yang mulia.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.