UiTM dan seminar anti-Kristian

MEI 19 — Maklumat mengenai “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebenarnya sudah saya ketahui sejak bulan lalu.

Akhbar Utusan Malaysia (21 April 2014) melaporkan pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai berkata, “ia bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat Islam dan mencari penyelesaian berhubung isu tersebut (kalimah Allah).”

Kononnya, seminar itu “akan memberi penjelasan kepada umat Islam tentang isu penggunaan kalimah Allah serta mencari penyelesaian secara efektif dan menyeluruh untuk menangani masalah yang timbul.”

Pada waktu itu, dilaporkan bahawa apa yang bakal berlangsung adalah “satu seminar yang besar dengan melibatkan lebih 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti penuntut institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan ulama dari seluruh negara.”

Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku pada 6 Mei 2014 ternyata adalah sebaliknya. Bukan sahaja jumlah peserta hanya sekitar 1,000 orang (berbanding jangkaan 5,000 orang), malah seminar ini dijadikan medan untuk mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan.

Sebagai seorang pengamal media, penulis dan pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), saya amat terkejut dan kecewa apabila UiTM bersekongkol dengan Mais dalam menganjurkan sebuah seminar yang secara terang-terangan berciri anti-Kristian, anti-perpaduan, berniat jahat serta tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat.

Kandungan seminar berkenaan juga secara jelas membawa unsur-unsur serta anasir-anasir yang mampu mengancam ketenteraman awam dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, kepercayaan dan mazhab.

Seminar yang dibuat secara amat terancang oleh UiTM dan Mais.
Seminar yang dibuat secara amat terancang oleh UiTM dan Mais.

Follow us on Instagram and subscribe to our Telegram channel for the latest updates.


Saya bersama-sama Perzeus James membuat laporan rasmi di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam pada 8 Mei 2014 selepas berpeluang meneliti laporan berita mengenai seminar itu di beberapa portal berita dalam talian. Rujuk www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat.

Pada 7 Mei 2014 pula, salinan fotokopi buku atur cara seminar tersebut diberikan kepada kami oleh seorang individu yang tidak dikenali semasa kami sedang minum di sebuah restoran.

Maklumat ini juga telah kami berikan (bersama-sama salinan atur cara tersebut) kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom apabila kami dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada petang 16 Mei 2014.

Usaha terancang oleh UiTM dan Mais?

Perkara-perkara di atas juga saya dan Perzeus nyatakan kepada peguam kami, Annou Xavier dan Bernard Scott yang menjadi tempat rujukan memandangkan isu berkaitan agama adalah amat sensitif. Mereka berdua turut mengiringi kami ke IPD Shah Alam.

Seperti yang saya ceritakan kepada Rohaini, peserta seminar ternyata bukan hanya orang Islam. Pelajar beberapa sekolah menengah turut dibawa bagi memenuhkan ruang di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM.

Malah, fakta yang pasti tidak boleh dikatakan “terlepas pandang” oleh Mais dan UiTM adalah bahawa pelajar institusi pengajian tinggi itu sendiri terdiri daripada orang Islam (majoriti) dan Bumiputera beragama Kristian (minoriti), khususnya dari Sabah dan Sarawak.

Usahlah penganjur memberikan alasan bahawa pelajar terbabit diberikan pilihan sama ada mahu hadir atau tidak ke seminar berkenaan. Beberapa pensyarah, tutor dan pelajar UiTM yang saya hubungi mengesahkan bahawa rata-rata pelajar diwajibkan hadir.

Mereka adalah pelajar diploma dan sarjana muda yang mengambil mata pelajaran wajib seperti Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas), Hubungan Etnik, serta Islam dan Agama. Kehadiran mereka ke seminar ini telah diwajibkan oleh pensyarah.

Sekiranya diperhatikan, pengendalian dan pelaksanaan seminar ini dilakukan secara terancang. Maknanya, UiTM tidak ada alasan untuk mengatakan bahawa ia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam seminar berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Dr Sahol Hamid Abu Bakar menjadi penaung sementara Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Dr Mohamad Rahimi Osman bertindak sebagai penasihat.

Terdapat jawatankuasa yang lengkap dan nama-nama mereka dipaparkan pada buku atur cara. Memandangkan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi diundang sebagai tetamu khas, tentulah perancangan seminar tidak dibuat secara ala kadar.

Pelbagai tuduhan dilemparkan tanpa orang Kristian berpeluang membela diri.
Pelbagai tuduhan dilemparkan tanpa orang Kristian berpeluang membela diri.

Malah, dalam buku atur cara diakui bahawa “adalah menjadi tanggungjawab pihak UiTM bersama-sama dengan Warisan Ibnu AABY untuk mengambil inisiatif bagi menganjurkan seminar ini bagi menyebarluaskan lagi kefahaman masyarakat Islam terhadap isu (kalimah Allah) yang sedang diperkatakan serta mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah ini secara efektif dan menyeluruh”.

Jika benarlah itu “niat” sebenar UiTM, maka terbukti institusi pengajian tinggi itu telah “ditipu” pihak tertentu sehingga akhirnya ia menjadi platform untuk mengendalikan sebuah seminar yang secara terang-terangan berciri anti-Kristian.

Menghancurkan reputasi pusat pengajian tinggi

Mungkinkah juga akhbar Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf, TV Al-Hijrah, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Pantai Bharu turut “terpedaya” untuk menyokong seminar anti-Kristian ini?

Kalau kita teliti akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian, liputan terhadap seminar ini tidak meluas. Mungkin mereka akhirnya menyedari kandungan, motif dan niat sebenar seminar tersebut dan memilih untuk tidak melaporkannya.

Hasil luahan perasaan masyarakat pelbagai kaum dan agama menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook, amat jelas bahawa rata-rata orang ramai tertanya-tanya bagaimana sebuah institusi pengajian tinggi seperti UiTM boleh melakukan “pekerjaan terhina” seperti ini yang menghancurkan reputasi dan kedudukan UiTM serta para pensyarah dan graduannya.

Kualiti pensyarah dan graduan UiTM memang sudah sedia dipertikaikan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah UiTM memang dikenali sebagai “lubuk” melahirkan gnerasi muda dan pemimpin masa depan yang etnosentrik, ultra kiasu, rasis dan pelampau. Maklumat ini saya peroleh menerusi komen orang ramai di pelbagai portal berita dalam talian.

(Mungkin UiTM perlu “belajar” daripada Datuk Seri Najib Razak untuk segera menyaman semua portal berita terbabit supaya orang ramai tidak akan berani lagi untuk mengkritik institusi pengajian tinggi itu sewenang-wenangnya.)

“Budak-budak UiTM yang berdemonstrasi untuk memboikot pelajar bukan Bumiputera masuk UiTM tu mesti hendak bekerja dengan majikan yang menjual pisang goreng di tepi jalan,” kata Komrad Haizal menerusi catatan di Facebook baru-baru ini dan ia menggambarkan realiti.

Memanglah kita mengalu-alukan UiTM menggunakan hak kebebasan akademik untuk menganjurkan seminar, forum, dialog dan debat berkaitan pelbagai topik yang mampu mengembangkan minda dan intelektualiti pelajar.

Akan tetapi, apa yang kini mengundang kemarahan dan kekecewaan masyarakat pelbagai kaum adalah apabila UiTM menggunakan tiket “kebebasan akademik” untuk menganjurkan seminar anti-Kristian yang ternyata tidak ada sebarang unsur “akademik” dan “intelektual” di dalamnya.

Bibit kebencian disuntik ke dalam jiwa peserta pelbagai kaum dan agama.
Bibit kebencian disuntik ke dalam jiwa peserta pelbagai kaum dan agama.

Tindakan terbaik, paling bijak dan paling waras bagi UiTM pada masa sekarang adalah dengan tampil membuat kenyataan terbuka bahawa institusi pengajian tinggi itu telah “dimanipulasi pihak tertentu” dan UiTM tidak tahu-menahu mengenai kandungan seminar berkenaan.

Apa-apa pun, apabila “lubuk perkauman” tampil mengatakan ia tidak terlibat dalam penganjuran “seminar anti-perpaduan” di tempatnya, tentulah orang tidak akan menjadi bodoh dan percaya begitu sahaja. Sebaliknya mereka akan ketawa terbahak-bahak.

Dalam pada itu, memandangkan laporan polis sudah dibuat oleh sekurang-kurangnya enam orang dan kertas siasatan di bawah Seksyen 298 dan 298A sudah dibuka di IPD Shah Alam, eloklah para penganjur dan penyokong seminar anti-Kristian itu disiasat sepenuhnya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

You May Also Like

Related Articles